Tubuh pasukan pakar kaji bencana geologi, kata menteri


Takiyuddin (kiri) ketika membuat lawatan kerja di lokasi aliran puing di Yan, Kedah. – Gambar Facebook, 4 September, 2021.

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bercadang menubuhkan satu pasukan pakar terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan untuk mengkaji dan menilai risiko kejadian bencana geologi di negara ini.

Menterinya Takiyuddin Hassan berkata langkah itu bagi menggabungkan peranan pakar itu supaya tindakan lebih bersepadu dan berintegrasi dapat dilakukan bagi menghadapi kejadian seperti runtuhan tanah dan aliran puing.

Beliau berkata, agensi atau jabatan itu termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd di bawah kementeriannya.

“Jabatan di kementerian lain pula antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh dan aliran puing Gunung Jerai di Yan, Kedah hari ini.

Beliau berkata, cadangan awal itu akan diperhalusi di peringkat kementeriannya sebelum dibentang ke kabinet untuk kelulusan.

Katanya, pasukan itu juga mungkin akan disertai pakar dari luar negara terutama negara yang berpengalaman dalam menghadapi situasi bencana geologi untuk membantu mencari penyelesaian terbaik menangani perkara itu.

Beliau berkata, langkah mengintegrasikan peranan pakar dari pelbagai agensi dan jabatan itu juga dilihat dapat memaksimumkan sebarang peruntukan kerajaan dalam menguruskan bencana geologi.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, KeTSA bercadang membangunkan satu sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai bagi meningkatkan tahap berjaga-jaga penduduk sekitar.

Menurutnya, satu daripada sistem amaran awal yang dikenal pasti adalah penggunaan tolok hujan yang berfungsi mengukur kuantiti hujan di kawasan itu yang berupaya memberikan amaran sekiranya kadar hujan melebihi tahap tertentu.

“Ini cukup penting, kita perlu ada satu langkah berjaga-jaga, satu langkah berhati-hati, supaya kalau insiden atau bencana seumpama ini berlaku lagi orang ramai terutama rakyat di sekitar akan dapat mengesan atau mengambil tindakan awal,” katanya.

Takiyuddin turut memberi jaminan kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan hutan simpanan kekal Gunung Jerai yang diklasifikasikan sebagai hutan perlindungan bagi tadahan air tidak terjejas dengan sebarang kejadian bencana geologi.

Dalam pada itu, KeTSA dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan sebanyak 69 lokasi bencana tanah runtuh dan lima lokasi aliran puing dikenal pasti di seluruh Gunung Jerai terutama di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Menurut kementerian itu, ketika ini JMG sedang melaksanakan analisis penzonan zon berisiko tanah runtuh dan aliran puing yang dikenal pasti bagi setiap kawasan tadahan di kawasan Gunung Jerai.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejadian banjir disebabkan aliran puing pada 18 Ogos lalu menyebabkan kerosakan pada dirian infrastruktur di empat Taman Eko Rimba di Gunung Jerai iaitu di Titi Hayun, Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi dan Tupah. – Bernama, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen