Roziah sah dilantik naib canselor UiTM selepas tertangguh sebulan


Dr Roziah Mohd Janor (kanan) menerima surat pelantikan sebagai naib canselor Uitm daripada Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, semalam. – Gambar Facebook, 4 September, 2021.

DR Roziah Mohd Janor sah dilantik sebagai naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), hampir sebulan selepas pelantikannya ditangguhkan tanpa sebarang alasan setelah Noraini Ahmad pada masa itu letak jawatan menteri pengajian tinggi.

Noraini yang dilantik semula menteri pengajian tinggi dalam kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan semula surat pelantikan naib canselor UiTM kepada Roziah, semalam.

“Saya percaya bahawa Dr Roziah Mohd Janor mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM,” tulisnya di Facebook, semalam.

Roziah, 58, memangku jawatan naib canselor UiTM sejak naib canselor ini Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatan pada 10 Mac 2021.

Pelantikannya menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan naib canselor UiTM.

Roziah sepatutnya memulakan tugas rasmi naib canselor pada 9 Ogos tetapi sehari sebelum itu surat penangguhan pelantikannya tersebar di media sosial.

Surat itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dr Husaini Omar pada 7 Ogos, menangguhkan arahan pelantikan yang dibuat oleh Noraini sebagai menteri melalui satu surat lain bertarikh 2 Ogos.

Noraini letak jawatan menteri sehari sebelum surat penangguhan itu dikeluarkan.

Pada 8 Ogos, media melaporkan Husaini mengesahkan beliau mengeluarkan surat penangguhan pelantikan Roziah tetapi tidak memberikan sebarang penjelasan.

Penangguhan pelantikan Roziah dikritik oleh pelbagai pihak termasuk badan kakitangan dan persatuan alumni UiTM.

Tiga badan kakitangan UiTM menegaskan mahu universiti itu terus menjalankan tanggungjawab sebagai institusi penting Bumiputera tanpa dipengaruhi sebarang pengaruh politik kepartian. – 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen