Azalina mahu usul RUU pilihan raya pecat wakil rakyat lompat parti


AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian menggubal sebuah akta memecat ahli Parlimen yang lompat parti.

Katanya, Akta Pemecatan Ahli Parlimen atau Recall Act lebih sesuai untuk menangani isu lompat parti, yang juga dibincangkan bersama antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan blok pembangkang.

“Bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka. 

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baru atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” tulisnya di Facebook.

Jelas Azalina, beliau akan membuat usul mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) yang memberi ruang kepada ahli Parlimen bukan anggota kerajaan mengemukakan rang undang-undang.

Beliau mencadangkan usul itu dinamakan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat atau recall election dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya.

Menurut Azalina, tanggapan rakyat terhadap ahli politik sekarang sangat memalukan ekoran tindakan ahli politik yang membelakangkan parti sendiri dan pengundi.

“Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak-gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?” katanya.

Secara peribadi Azlina berkata beliau terkilan dengan keadaan sekarang.

Undang-undang mencegah wakil rakyat lompat parti adalah antara tujuh cadangan reformasi yang ditawarkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sokongan pembangkang, menjelang undi percaya terhadapnya.

Pihak pembangkang pada masa itu menolak tawaran Muhyiddin yang mereka sifatkan sudah terlambat, selepas beliau hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Selepas Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin, beliau mengadakan menjemput tiga ketua parti dalam Pakatan Harapan untuk membincangkan usaha mewujudkan “suasana lebih kondusif” untuk rakyat, termasuk reformasi institusi.

Pada masa ini, pilihan raya memecat wakil rakyat diamalkan di beberapa negara Komanwel antaranya Kanada, India, New Zealand, dan United Kingdom sendiri.

Ia antara lain membolehkan pengundi memecat wakil rakyat melalui pilihan raya semula sebelum mandat berakhir.

Sementara itu, Azalina yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat mahu mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti.

Katanya, ia bertujuan memperkasakan institusi Parlimen dan memartabatkan demokrasi berparlimen di negara ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan terima kasih kepada badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang memberi pemahaman kepada orang ramai tentang mekanisme pemecatan wakil rakyat.

Parlimen kini dijadual bersidang bermula 13 September, ditunda seminggu daripada tarikh asal 6 September. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen