Kekalkan momentum vaksinasi untuk pulihkan ekonomi, kata Azmin


Mohamed Azmin Ali berkata penurunan kemasukan ke hospital adalah petunjuk utama yang membuktikan kejayaan program imunisasi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

MALAYSIA mesti meneruskan momentumnya untuk memvaksinasi sebanyak mungkin rakyat untuk memastikan ekonomi negara terus maju ke arah pertumbuhan positif dan pemulihan yang mampan, kata Mohamed Azmin Ali hari ini.

Beliau berkata penurunan kes kemasukan ke hospital adalah petunjuk utama yang imunisasi negara berjaya.

“Justeru, kita perlu tegas melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diperkenalkan kerana ia diperlukan untuk pertumbuhan KDNK, mencipta pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmin dilantik sebagai menteri perdagangan dan industri antarabangsa dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob hari ini. Ia adalah jawatan sama yang dipegangnya semasa dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, ketika Malaysia merancang pemulihan ekonomi, kesejahteraan rakyat tidak boleh dilupakan.

“Kita harus memastikan rakyat memiliki sumber-sumber khusus yang diperlukan untuk memartabatkan darjat ekonomi (economic dignity) dan berpartisipasi secara aktif dan merperoleh kejayaan selari dengan pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Dalam hal ini, dasar sosio-ekonomi kita perlu berani dalam perancangan dan penyampaian untuk menjana kekayaan kepada Rakyat agar dapat diagihkan dengan adil.”

Katanya, Kabinet baharu ini akan mengambil kira harapan rakyat dan anak muda dalam menjalankan tugasnya.

“Ini adalah Kerajaan rakyat untuk rakyat berteraskan prinsip tata kelola yang telus, ehsan dan bertanggungjawab.

“Mari kita menggilap kekuatan di atas landasan perpaduan serta mebulat tekad dan iltizam demi memperkukuhkan gerak kerja kearah kejayaan Keluarga Malaysia.”

Awal hari ini, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya yang terdiri daripada 30 menteri. Mengambil langkah sama seperti Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri tiada timbalan perdana menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan.

Beliau juga mengekalkan hampir semua menteri daripada Kabinet Muhyiddin, dengan hanya beberapa muka baharu, dan menukar portfolio beberapa orang.

Bersama Azmin, menteri kanan lain adalah Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin. – 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen