Dr Mahathir saran Ismail Sabri bentuk Kabinet kecil


Dr Mahathir Mohamad berkata Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti dianggotai pemimpin yang benar-benar berkebolehan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

MEMADAI bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentuk Kabinet lebih kecil berbanding kerajaan sebelum ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri dipetik Utusan Malaysia berkata, Ismail Sabri perlu memberi keutamaan kepada pemimpin yang benar-benar layak dan berkebolehan menganggotai kabinetnya.

“Saya harap tak berapa besarlah (jumlah Kabinet). Setiap menteri sepatutnya ada kebolehan.

“Kita dapati menteri-menteri Muhyiddin (sebelum ini) tak ada kerja apa pun, tak ada buat kerja, dapat gaji sahaja. Janganlah jadi macam itu,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi dalam satu program hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu merujuk kepada Kabinet bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang dianggotai 70 menteri bagi 32 portfolio.

Pengkritik melihat Kabinet Muhyiddin yang terlalu besar itu sebagai ganjaran kepada sekutu politiknya, yang menyokong pembentukan Perikatan Nasional susulan pergolakan politik pada Februari 2020.

Dr Mahathir juga berkata Ismail Sabri perlu mengelak memberi jawatan kepada pemimpin-pemimpin yang digelar “kluster mahkamah” sebagai anggota Kabinet.

Mengulas jawatan timbalan perdana menteri, bekas pengerusi Pakatan Harapan itu berpandangan tiada siapapun pemimpin dalam blok kerajaan yang layak, terutamanya dari Bersatu.

Ini kerana majoriti pemimpin bekas partinya itu adalah golongan yang melompat parti, kata Dr Mahathir.

“Saya cuma tahu siapa yang tidak patut jadi timbalan (perdana menteri) iaitu geng kluster mahkamah, (kumpulan ini) tidak boleh ada dekat dengan kerajaan pun, sepatutnya mereka diasingkan dan sudah tentu tak boleh jadi timbalan perdana menteri.”

Ismail Sabri ketika ditemui media di Yan, Kedah semalam berkata barisan anggota Kabinet baharu akan diumum dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen