Sultan Kedah zahir ucap takziah buat mangsa tragedi di Gunung Jerai


Sultan Sallehuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Ogos, 2021.

SULTAN Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa dukacita kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi aliran air deras ekoran fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, Rabu lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Sallehuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan itu.

“Baginda berharap dan berdoa agar individu yang hilang dapat dijumpai dalam keadaan selamat. Baginda turut berharap fenomena ini dapat dijadikan iktibar kepada semua pihak agar menghargai khazanah alam semula jadi dan memelihara serta menjaga alam sekitar.

“Baginda turut bertitah agar rakyat di kawasan terlibat hendaklah sentiasa berhati-hati, mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata Sultan Sallehuddin turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang telah mengambil tindakan segera membantu mangsa tragedi tersebut.

“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada negeri-negeri lain yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada negeri Kedah,” katanya. – Bernama, 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen