PAS masih harap peruntukan untuk wakil rakyat Selangor


Jika PKR bersedia memberi peruntukan kepada Barisan Nasional (BN), jadi PAS juga harus diberi kemudahan yang sama, kata Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

PAS masih percaya Selangor akan memberi semula peruntukan kepada tiga wakil rakyatnya kerana negeri yang ditadbir PKR itu telahpun berjanji untuk memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk dari pembangkang negeri, kata timbalan presiden parti itu.

Tuan Ibrahim Tuan Man sebagaimana dipetik News Straits Times berkata walaupun Unit Perancang Ekonomi negeri sudah memaklumkan kepada PAS Selangor mengenai pembekuan itu, “peruntukan itu belum dipotong seperti yang diperkatakan”. 

“(Menteri Besar Selangor) Azmin (Ali) telah menyatakan yang ia akan mengambil masa memandangkan sekarang ini awal tahun dan proses itu masih berjalan.

“Kenyataan awal mengatakan semua wakil rakyat termasuk dari Barisan Nasional (BN) akan mendapat bahagian (peruntukan). Ini janji kerajaan Selangor,” kata Tuan Ibrahim dan tambah beliau, jika PKR bersedia memberi peruntukan kepada BN, iaitu pembangkang, jadi PAS juga harus diberi kemudahan yang sama.

Kerajaan Selangor baru-baru ini membekukan peruntukan RM800,000 seorang kepada tiga wakil rakyat PAS.

Tindakan itu dilaporkan sebagai satu langkah untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan PAS selepas Azmin gagal menyelamatkan hubungan dengan parti itu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Meskipun wakil-wakil rakyat PAS masih berada dalam pentadbiran Selangor, namun secara rasminya, kedua-dua parti itu tidak lagi mempunyai hubungan dan PAS bukan lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang.

Spekulasi media juga mengatakan langkah pembekuan peruntukan itu adalah tindak balas ke atas tindakan kerajaan negeri Kelantan yang tidak melantik wakil rakyat PKR sebagai penyelaras di kerusi dikuasai BN di negeri tersebut. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen