Pertindihan bidang kuasa SPRM, JITN bakal cetus konflik, kata aktivis


Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel turut mempersoalkan mengapa kertas cadangan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) sukar diakses dan tujuan penubuhannya tidak didedahkan kepada umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

KONFLIK bakal tercetus berikutan kegagalan kerajaan pusat memurnikan bidang kuasa antara agensi pencegahan rasuah, kata aktivis hapus korupsi hari ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, ketegangan hubungan antara Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya bekerja sama itu menghakis keyakinan rakyat yang mahukan kemajuan transformasi pentadbiran.

“Konflik yang ternampak antara kedua agensi ini membuat kita amat sukar melihat tujuan sebenar kerajaan, dan jika fungsi kedua agensi ini bertindih atau tidak,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan pegawai-pegawai SPRM yang ditempatkan di jabatan kerajaan telah diarahkan kembali ke agensi pencegahan rasuah itu selepas penubuhan JITN.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low yang bertanggungjawab menubuhkan JITN berkata keputusan SPRM itu merupakan inisiatif sendiri dan tidak diminta pihaknya.

26 September 2017, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad membidas penubuhan JITN dan berkata, pihaknya melihat tiada keperluan untuk jabatan baharu itu ditubuhkan yang mempunyai peranan seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Low bagaimanapun menafikan JITN mengganggu bidang kuasa SPRM, dan menegaskan jabatan itu ditubuhkan bagi memastikan agensi penguatkuasa itu menjadi lebih mantap dan mengutamakan fungsi utamanya iaitu menyiasat kes salah guna kuasa dan rasuah secara mendalam di samping memastikan tuduhan yang berkesan supaya pendakwaan tercapai.

Disebabkan persamaan bidang kuasa itu, Cythia membangkitkan kemungkinan kewujudan JITN itu merupakan satu lagi projek “gajah putih” yang membazirkan wang awam.

“Jelas sekali Bahagian 2 Akta SPRM menyatakan mereka mempunyai pregoratif untuk mempromosi integriti dan ketelusan dalam sektor awam, tapi bagaimana pula dengan JITN?

“Mengapa proposal Parlimen mereka sukar diakses? Mengapa fungsi dan tanggungjawab mereka tidak didedahkan kepada umum? Adakah ini satu lagi acara tontonan awam dan pembaziran dana awam?” tanya Cynthia.

Semalam, SPRM dilaporkan menarik balik semua 47 pegawai integriti bertauliah (CeIO) SPRM yang ditugaskan untuk membasmi gejala rasuah di agensi kerajaan.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu mengesahkan perkara berkenaan susulan laporan mengenai pegawai integriti bertauliah SPRM yang akan digantikan oleh pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di unit integriti agensi kerajaan.

“Tindakan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) baru-baru ini.

“Selaras dengan fungsi pencegahan di bawah akta SPRM, suruhanjaya ini akan terus memastikan tadbir urus agensi kerajaan bebas daripada isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Many government/private agencies, local news media and financial services are designing their website to frustrate access and be indirect, evasive by using technical excuses. They are there to show a false sense of convenience. You can get no help or direct assistance but only a dud useless interface for cosmetics. Speaks volumes about their sincerity. Such organization should be shamed and exposed.


    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Arun Paul · Ulasan