Kemelut politik tak jejas program kesihatan awam di Pulau Pinang, kata ketua menteri


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri fokus beri komitmen terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan enggan membiarkan kemelut politik menjejaskan usaha berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang enggan membiarkan kemelut politik yang melanda negara ketika ini menjejaskan program kesihatan awam yang sedang giat dilaksanakan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Sebaliknya, katanya, mereka ingin terus memberi fokus dan komitmen kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta giat menggembleng tenaga bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang dengan jayanya.

“Kita akan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara tersebut (kesihatan awam) di samping memastikan program vaksinasi berjalan sehingga mencapai matlamat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat saringan pandu lalu Stadium Negeri Pulau Pinang, dekat Batu Kawan, hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang juga bakal mencapai status penerimaan vaksin dos pertama 100 peratus menjelang minggu pertama September ini.

“Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa mengikut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) hari ini di Pulau Pinang akan mencapai 70 peratus penerimaan dos pertama dan 100 peratus boleh kita capai menjelang minggu pertama bulan depan,” katanya.

Menurut Chow, baki 30 peratus itu boleh dicapai dalam masa tiga minggu lagi manakala bagi pemberian dos kedua pula iaitu sebanyak 50 peratus akan dicapai akhir bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata sebanyak empat pusat pemberian vaksin (PPV) awam di negeri itu ditutup untuk hari ini berikutan kekurangan lebih 20,000 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

PPV tersebut ialah Kompleks Sukan Balik Pulau (daerah Barat Daya), Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (daerah Timur Laut), Tapak Pesta Pulau Pinang (daerah Timur Laut) dan Dewan Millenium Kepala Batas (daerah Seberang Perai Utara).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menjejaskan program vaksinasi dan meminta penerima janji temu kerap membuat semakan di aplikasi MySejahtera untuk tarikh janji temu yang baharu. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen