Muhyiddin buat pengumuman khas 12.30 tengah hari


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melambai kepada media yang menunggu di Istana Negara. Beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat satu perutusan khas pada 12.30 tengah hari ini, yang akan disiarkan secara langsung di televisyen.

The Malaysian Insight difahamkan perutusan khas ini dibuat sebelum Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Muhyiddin sebelum itu mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 pagi tadi ketika keabsahannya sebagai perdana menteri jadi tanda tanya selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.

Muhyiddin tiba di Istana Negara lebih kurang 10.50 pagi tadi dan dilihat meninggalkan kawasan istana kira-kira sejam kemudian.

Majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini adalah jadual rutin perdana menteri setiap minggu sebelum mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, yang biasanya diadakan pada Rabu.

Majlis mengadap hari ini bagaimanapun berlangsung selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Zahid mendakwa Muhyiddin hilang majoriti untuk terus kekal menerajui kerajaan.

The Malaysian Insight bagaimanapun difahamkan setakat ini belum ada bukti jelas Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat ketika tiada juga mana-mana pihak yang mempunyai majoriti jelas.

Awal hari ini, Bernama melalui Twitter melaporkan kenderaan yang membawa Peguam Negara Idrus Harun dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada 9.30 pagi.

Media juga melaporkan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Zamri Yahya bersama Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pagi ini.

The Malaysian Insight sudah menghubungi pejabat Ketua Setiausaha Negara dan masih menunggu pengesahan. β€“ 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen