Rentetan peristiwa 24 jam lalu 


Kenderaan membawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara menuju ke Istana Negara pagi ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2021.

DALAM tempoh 24 jam lalu, kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikejutkan dengan pengumuman Umno menarik sokongan terhadap kerajaan.

Perikatan mempunyai majoriti tipis dan dengan pengumuman itu semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Perikatan Nasional tidak lagi mempunyai majoriti dan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan.

Berikut adalah ringkasan daripada apa yang berlaku setakat ini:

3 Ogos, 1.30 petang

Muhyiddin mengumumkan Ordinan Darurat akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan pada September.

Beliau berkata proses untuk membatalkan ordinan sebagaimana yang dirancang Kabinet tidak boleh dilaksanakan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia susulan daripada kenyataan Istana Negara pada 29 Julai bahawa kerajaan masih belum mendapatkan perkenan Agong untuk berbuat demikian. Ketika itu, Pejabat Perdana Menteri berkata tindakan kerajaan mengikut undang-undang.

3 Ogos, 6 petang

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan letak jawatan daripada kabinet Muhyiddin. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata beliau membuat keputusan itu berdasarkan keputusan parti untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. 

3 Ogos, 6.30 petang

Tidak lama selepas peletakan jawatan Shamsul, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media mengumumkan parti itu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.

Zahid berkata partinya sudah mempersembahkan kepada Agong senarai ahli Parlimen yang bersetuju untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

10 ahli Parlimen yang turut hadir pada sidang media berkenaan adalah: Najib Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Maslan (Pontian), Azalina Othman Said (Pengerang), Noh Omar (Tanjong Karang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

3 Ogos, 8 malam

PAS yang merupakan sekutu Umno dalam Muafakat Nasional mengadakan mesyuarat tergempar susulan pengumuman Umno. 

Parti itu belum membuat sebarang pengumuman mengenai apa yang dibincangkan pada mesyuarat itu. Ia setakat ini kekal menyatakan sokongan kepada Muhyiddin. 

3 Ogos, 10 malam

Peguam Negara Idrus Harun, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan beberapa pemimpin Perikatan Nasional lain berkumpul di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara selepas pengumuman Umno. 

Mereka tiba di kediaman Muhyiddin kira-kira pukul 8.20 malam. Tiada yang berhenti untuk bercakap kepada pemberita yang berkumpul di lur kediaman itu. 

Pertemuan itu berakhir selepas tiga jam.

4 Ogos, 12.30 pagi

Ismail Sabri Yaakob dilihat tiba di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur selepas pertemuan dengan Muhyiddin berakhir. Turut hadir pada pertemuan itu adalah ahli Parlimen Umno Zahidi Zainul Abidin. 

Ismail Sabri tidak bercakap kepada pemberita. 

4 Ogos, 2 pagi

Zahidi, yang juga ahli Parlimen Padang Besar, keluar dari lobi berkenaan. 

Beliau memberitahu pemberita bahawa kerajaan PN masih kukuh dan menambah terdapat dua tiga pemimpin yang mahu letak jawatan namun tidak mendedahkan sebarang nama.

4 Ogos, 8.30 pagi

Pemberita menerusi WhatsApp meminta maklum balas kerajaan berhubung apa yang berlaku semalam. Tiada sebarang jawapan. 

4 Ogos, 11pagi 

Muhyiddin dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong diikuti dengan mesyuarat Kabinet di Putrajaya. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen