Muhyiddin digesa buktikan sokongan majoriti di Parlimen 16 Ogos 


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang turut membidas kerajaan Perikatan Nasional yang gagal menangani pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.

MUHYIDDIN Yassin perlu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Parlimen dalam dua minggu akan datang, kata Lim Kit Siang hari ini.

Veteran DAP itu berkata perdana menteri perlu memanggil Parlimen untuk bersidang pada 16 Ogos bagi menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan untuk kekal sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata enam Ordinan Darurat juga boeh dibatalkan pada sidang ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa 11 ahli Parlimen dari partinya menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan surat perakuan sudah dihantar ke Istana.

“Dengan pengumuman presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan Umno kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Parlimen perlu bersidang selewat-lewatnya 16 Ogos untuk membatalkan enam Ordinan Darurat dan bagi Muhyiddin buktikan beliau ada sokongan majoriti di Parlimen,” kata Lim.

Semalam Muhyiddin berkata Ordinan Darurat yang diumumkan tahun ini akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang dijadualkan pada bulan September.

Proses untuk membatalkan ordinan berkenaan oleh Kabinet tidak dapat dilaksanakan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, katanya dalam satu kenyataan.

“Proses membatalkan Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kabinet pada 23 Julai, 2021 tidak boleh diteruskan.

“Memandangkan proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos, 2021, berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan, isu pembatalan ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.

“Malah, sejajar dengan pandangan baginda dan Perkara 150 (3) perlembagaan persekutuan, usul untuk membahaskan dan membatalkan ordnan akan dibawa ke Parlimen, yang dijadualkan bersidang pada September 2021,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berdepan tekanan berhubung cara kerajaannya menguruskan pembatalan Ordinan Darurat pada sidang khas Parlimen minggu lalu.

Kerajaannya berdepan teguran daripada Istana dan gesaan untuknya meletakkan jawatan.

Langkah Umno menarik balik sokongan semalam menyebabkan kedudukan Muhyiddin mula goyah, beberapa pemimpin kanan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengadakan pertemuan di kediaman perdana menteri sehingga lewat malam tadi.

Kritikan utama mengenai pentadbiran Muhyiddin adalah kegagalannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Lim turut menyentuh mengenai perkara ini dalam kenyataannya dan mengatakan 20 bulan selepas pandemik Covid-19, Malaysia menjadi salah satu negara yang paling teruk dalam menangani wabak itu.

“Apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada 18 Mac, 2020, Malaysia hanya merekodkan 728 kes Covid-19 dengan dua kematian.

“Kini selepas beberapa kali pelaksanaan sekatan pergerakan dan enam bulan darurat, kita merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 1,163,291dan 9.598 kematian - 1,600 kali ganda jumlah kes dan 4,800 kali ganda jumlah kematian selepas 16 bulan,” katanya. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen