Azmin perlu bertindak segera dalam rundingan kerusi untuk kekal MB


Zulkifli Sulong

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali perlu memposisikan dirinya sebagai jeneral perang sesuai dengan kedudukannya sebagai pengarah pilihan raya bagi Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

AZMIN Ali perlu bertindak tegas dan menyelesaikan ketidakpastian dalam rundingan kerusi di Selangor dan meningkatkan hubungannya dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) jika mahu kekal sebagai menteri besar, kata pemerhati bebas dan sumber dalaman PH.

Mereka berkata menyelesaikan rundingan kerusi dengan cepat akan dapat membantu Azmin, susulan pendirian awalnya sebelum ini bahawa PH perlu bekerjasama dengan PAS, di mana Bersatu dan Amanah, parti serpihan PAS tidak menerima baik cadangan itu.

PH kini terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisommudin Bakar menegaskan, inilah masanya bagi Azmin memulihkan keyakinan rakan-rakannya dalam PH ke atas kepemimpinannya.

“Beliau perlu memposisikan dirinya sebagai jeneral perang sesuai dengan kedudukannya sebagai pengarah pilihan raya PH,” kata pemimpin firma kajian bebas itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut memberi amaran, kegagalan menyelesaikan pembahagian kerusi negeri di Selangor boleh menjadi modal politik pembangkang di negeri itu.

Ini kerana, beliau melihat rundingan tersebut masih kritikal kerana masih belum dimuktamadkan dalam tempoh perbincangan yang hanya berbaki kira-kira dua minggu.

“Saya nampak pembahagian kerusi di Selangor sekarang kritikal walaupun sudah nampak jalan penyelesaian.

“Jika ia boleh diselesaikan lebih awal berbanding negeri lain, ia bakal menjadi pemangkin dan pembakar semangat PH di seluruh negara,” kata Hisommudin.

Menurut Hisommudin, beliau mendapat maklumat sudah ada formula asas yang dipersetujui oleh kesemua parti PH di Selangor namun ia tidak dimuktamadkan lagi.

“Misalnya saya diberi maklum, kesemua 20 kerusi PAS dahulu sudah dipersetujui akan dibahagikan antara Amanah dan Bersatu.

“Amanah dan Bersatu pula sudah mencapai persetujuan asas mengenainya. Jadi, saya nampak ia perlu dimuktamadkan segera di peringkat PH,” kata Hisommudin.

Pembahagian kerusi DUN di Selangor juga menjadi isu apabila PKR dikatakan mahu memastikan parti itu mendapat kerusi yang cukup untuk membuat keputusan sendiri tanpa perlukan Amanah dan DAP.

Ini kerana, DAP dikatakan bimbang sekiranya Amanah dan PKR menolak perlantikan semula Azmin ke jawatan menteri besar.

Pakatan Harapan juga menetapkan tarikh 31 Januari sebagai tarikh akhir untuk memuktamadkan pembahagian kerusi peringkat DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

Pemerhati melihat, isu berhubung keyakinan parti dalam PH ke atas Azmin juga berpunca daripada rundingan kerusi yang diadakan PKR dan PAS sebelum ini.

Wakil Azmin didapati menjalankan rundingan untuk membolehkan Adun PAS yang tidak sehaluan dengan PAS Pusat bertanding atas tiket PKR. 

Hisommudin berkata, beliau mendapat maklumat yang Azmin menghantar wakilnya untuk membuat perundingan dengan wakil presiden PAS untuk kali terakhir.

Namun, usaha tersebut ternyata gagal apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri membuat keputusan untuk menutup pintu kerjasamanya dengan PKR, katanya.

“Saya diberitahu, wakil presiden PAS itu memberitahu wakil Azmin, bukan saja pintu sudah ditutup bahkan, sudah dimangga dan anak kuncinya dilempar ke laut Marang,” kata Hisommudin.

Selain itu, PAS Kelantan didapati tidak lagi melantik wakil PKR di Kelantan sebagai penyelaras Parlimen di DUN Kelantan. Mereka hanya dikekalkan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ahli lembaga anak syarikat kerajaan negeri sahaja.

Susulan itu, Azmin bertindak balas dengan menyekat peruntukan kerajaan negeri kepada wakil rakyat PAS di Selangor dan turut menyingkirkan seorang ahli majlis dalam sebuah kerajaan tempatan.

Selain itu, Azmin turut menyekat permohonan PAS Selangor untuk menggunakan premis kerajaan negeri bagi program parti.

Ia melibatkan pembatalkan tempahan Stadium Tertutup Kuala Selangor yang ingin digunakan oleh PAS untuk mengadakan program Fastaqim 2.4.

Mengulas perkembangan itu, Hisommudin berkata beliau sangat bersetuju dengan tindakan kerajaan Selangor, dan menyifatkannya sebagai langkah yang sangat baik.

“Saya setuju dengan tindakan Menteri Besar Azmin sebagaimana yang diberitakan menyekat peruntukan untuk Adun PAS dan menyekat premis kerajaan Selangor digunakan untuk program PAS.

“Bagi saya, ini exit plan (pelan jalan keluar) yang baik dalam hubungan dengan PAS selepas parti itu sudah menutup rapat pintu kerjasama,” katanya.

PAS Selangor bagaimanapun tidak menerima sekatan itu dengan mudah dan menuntut penjelasan wajar daripada Azmin.

Laporan China Press menyebut, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata PAS juga akan menghadap sultan sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan Azmin.

“Sekiranya Azmin tidak dapat memberikan jawapan munasabah, kami merancang akan menghadap sultan,” kata Sallehen seperti dipetik dalam laporan itu, Selasa lalu.

Konvensyen PH pada awal bulan ini memuktamadkan agihan 52 kerusi Parlimen kepada Bersatu, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

PH juga menetapkan tarikh 31 Januari sebagai tarikh akhir untuk memuktamadkan pembahagian kerusi peringkat DUN. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa yg pasti azmin akan terlepas kerusi mb selepas pru 14 nanti kerana beliau akan kalah dikawasan bertanding..sama2 kita nantikannya..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

    • ...betul juga, sebab dia tu yang tak korup!

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Orenji Lingo · Ulasan