Kementerian cadang sidang Dewan ditangguh 2 minggu, kata KP kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes dikesan di Parlimen mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

ENAM kes yang berpotensi menjadi “super spreader” atau penyebar utama dikesan dalam kalangan kes positif Covid-19 di Parlimen, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menyebabkan Kementerian Kesihatan mencadangkan semua mesyuarat ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai.

Ketua pengarah kesihatan berkata enam kes berkenaan mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.

Katanya kes itu juga tidak bergejala dengan risiko penyebaran dan berpotensi berubah menjadi penyebar utama.

Dr Noor Hisham berkata jangkitan boleh merebak daripada dua hari sebelum mula bergejala dan akan berterusan hingga hari ke tujuh.

Individu yang berada dalam lingkungan itu berpotensi untuk terdedah dengan virus dengan adanya kes positif di kawasan berkenaan.

“Majoriti yang hadir pada sidang khas Parlimen juga merupakan warga emas dan berkemungkinan mempunyai sejarah penyakit kronik yang akan meningkatkan risiko jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak semua individu yang hadir ke Parlimen sudah divaksin sepenuhnya.”

Beliau berkata hanya dua daripada 11 kes yang dikesan divaksin sepenuhnya.

Dr Noor Hisham berkata sembilan lagi kes dikesan ketika ujian saringan bagi sidang Dewan Negara pada 30 Julai, yang mana persidangan sepatutnya pada Selasa namun terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu, 60 kes positif termasuk dalam empat kontak rapat ketika ujian saringan Dewan Rakyat melibatkan 2,093 individu. Kesemua kes tidak hadir ke Parlimen sejak hari pertama sidang khas yang bermula pada 26 Julai. – 1 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen