Kes aktif Covid-19 Malaysia hampir cecah 200,000 


Ragananthini Vethasalam

1,059 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi hospital manakala 531 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

JUMLAH kes aktif Covid-19 di Malaysia hampir mencecah 200,000 selepas merekodkan 195,273 kes aktif, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini. 

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 1,059 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital, 531 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. 

160 kes kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kepada 9,184. 

Sementara itu, 11,326 kes pulih turut dilaporkan berbanding 17,150 kes baharu, menjadikan kes aktif hampir mencecah 200,000.

Hanya satu kes import direkodkan hari ini manakala 17,149 adalah penularan tempatan. 

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini melepasi 1.13 juta manakala jumlah kumulatif kes pulih adalah 925,965.

Daripada 17,150 kes yang dilaporkan hari ini, 745 atau 4.3% adalah kes Kategori 3, 4 dan 5. 

Manakala 95.7% atau 16,405 adalah kes tidak bergejala Kategori 1 dan bergejala ringan Kategori 2. 

Sementara itu, 20 daripada kes kematian hari ini adalah kematian luar hospital manakala 133 mempunyai sejarah penyakit kronik. 

Lebih satu pertiga daripada 160 kematian hari ini dilaporkan di Selangor iaitu 55 kematian. 

Ini diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 25 kematian, Negeri Sembilan dan Johor masing-masing 14 kematian, Melaka dan Kedah masing-masing 10 kematian. 

Pahang merekodkan lapan kes kematian, Sabah tujuh dan Pulau Pinang lapan kes kematian. 

Manakala Kelantan dan Perak masing-masing merekodkan empat kematian dan Terengganu tiga kematian. –1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen