Pasukan petugas khas dibentuk selesai isu doktor kontrak, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan itu akan mengkaji Akta Pencen supaya dapat dipinda sekali gus membolehkan doktor kontrak diserap ke jawatan tetap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2021.

PASUKAN petugas khas diketuai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sedang mengkaji untuk meminda Akta Pencen supaya boleh menyerap masuk doktor kontrak ke jawatan tetap kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kami harap pasukan petugas khas diketuai MMA dan KKM akan meneliti pindaan terhadap Akta Pencen bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberikan kepada 23,000 doktor sekarang,” katanya dalam satu ciapan di Twitter malam ini.

Dalam serangkai twit itu, Dr Noor Hisham turut menggesa ahli Parlimen menyokong langkah ini apabila pindaan dibentang di Parlimen, selain meminta doktor kontrak teruskan rundingan bukannya membuat mogok.

“Ketika kita sedang berjuang mewujudkan keadaan kerja yang lebih baik dan masa depan lebih bagus buat pegawai kontrak, kita mungkin terluka sedikit dalam perjalanan ini.

“Saya lebih suka penyelesaian melalui rundingan (berterusan dengan pelbagai pihak) daripada membuat demonstrasi pada waktu sukar dan PKP (perintah kawalan pergerakan) ini.

“Sementara itu, pegawai kontrak masih boleh teruskan pengajian lepasan ijazah sarjana atau latihan kepakaran Parallel Pathway.

“Harapan kami yang paling besar, dalam dua tahun atau kurang ini, mereka akan diserapkan ke jawatan tetap di bawah KWSP.”

Semalam doktor kontrak membuat mogok di beberapa hospital kerajaan di seluruh negara di bawah gerakan Hartal Doktor Kontrak dengan matlamat kerajaan menyerap mereka ke jawatan tetap.

Sejak sistem ini dilancarkan pada 2016, hanya lebih 700 daripada 23,000 doktor kontrak sahaja diberikan jawatan tetap. – 27 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen