Siswazah menganggur naik 22.5% tahun lalu, kata Jabatan Perangkaan


Pertambahan jumlah pengangguran tahun lalu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan dan kesannya terhadap siswazah berumur 35 tahun ke atas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2021.

BILANGAN siswazah menganggur di Malaysia meningkat 22.5% iaitu seramai 202,400 orang tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan seramai 37,200 siswazah berbanding 165,200 pada 2019, kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Pertambahan itu katanya disebabkan oleh persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan pada tahun lalu dan kesannya terhadap siswazah berumur 35 tahun ke atas.

“Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5% kepada 4.4% berbanding 3.9% pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, lebih 75% daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja, yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang daripada tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi siswazah yang mendapat kerja pula, Uzir berkata seramai 1.36 juta orang bekerja di luar bidang, meningkat kepada 31.2% berbanding 26.7% atau 1.10 juta pada 2019.

Siswazah yang bekerja dalam pekerjaan tidak sepadan dengan kelayakan mereka dikelaskan sebagai sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, tambahnya.

Bilangan siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir pula meningkat kepada 28.95 berbanding 25.6% pada 2019. Manakala bilangan siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah 2.3%, kata Uzir. – 27 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen