Bagaimana sepatutnya Ordinan Darurat dimansuh


PADA 26 Julai 2021 bermulalah sidang Mesyuarat Khas Penggal ke-3 Parlimen ke-14. Dalam sidang itu, dikhabarkan bahawa semua ordinan selepas proklamasi darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 telah terlebih dahulu dibatalkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021.

Ada beberapa syarat dan kaedah pembatalan suatu ordinan darurat di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. 

Pertama, kuasa perundangan Persekutuan terletak pada Parlimen, iaitu Yang di-Pertuan Agong dengan dua buah Majlis iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Dalam prinsip tiga cabang kuasa utama di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja; Legislatif,Eeksekutif dan Kehakiman mempunyai kewajiban dan fungsi kuasa masing-masing yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membatalkan suatu ordinan darurat selepas ia dibentang di hadapan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketiga, prosedur yang betul di bawah Perkara 150(3) perlu dipatuhi untuk membatalkan suatu proklamasi mahupun ordinan darurat begitu juga bagi maksud ungkai oleh Parlimen.

Justeru, Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan ordinan darurat kerana penggubalan ordinan itu di bawah kuasa perundangan, dan dalam kes ordinan darurat di bawah Perkara 150(2B), kuasa itu ialah kuasa Parlimen yang dibenarkan melalui prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Tidak berperlembagaan

Sebarang kecacatan atau tidak kepatuhan menurut peruntukan Perkara 150(3) mengakibatkan tindakan sedemikian tidak berperlembagaan. 

Dalam kes yang berkehendakkan pembatalan suatu ordinan tetapi gagal mematuhi syarat Fasal (3) di atas, kesannya ialah ordinan itu masih sah berkuat kuasa sehinggalah dibatalkan mengikut kaedah-kaedahnya, atau luput berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan berlakunya  kecacatan dalam proses pembatalan ordinan darurat, maka kaedah yang betul perlu diambil untuk memberikan kesan undang-undang.

Pembentangan semua ordinan itu belum berlaku pada 26 Julai 2021, selain itu agenda pembentangan ordinan perlu diteruskan di Dewan Negara mengikut kehendak Perkara 150(3). 

Jika Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan mana-mana ordinan darurat maka usul untuk mengungkainya  boleh dikemukakan berdasarkan  kaedah-kaedah yang dinyatakan di bawah Perkara 150(3) dan Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Usul batal

Usul untuk mengungkai suatu proklamasi dan ordinan darurat boleh dibuat oleh ahli Kerajaan, atau bukan ahli Kerajaan. Usul tersebut akan dibahaskan dan diundi.

Satu perkara yang perlu difahami dalam prinsip pemisahan tiga cabang kuasa utama di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya terikat dengan nasihat pihak Eksekutif. Bahkan bukan kesemua permintaan pihak Eksekutif itu boleh dianggap terjumlah dalam kategori nasihat di bawah Perkara 40(1). 

Perkara 40(1) itu sendiri mengandungi pengecualian di samping pengecualian yang diberikan di bawah Perkara 40(2), Perkara 40(3), Perkara 44, Perkara 130 dan Perkara 181(1). 

Ringkasnya, dalam keadaan-keadaan tertentu, Yang di-Pertuan Agong hanya perlu menimbang pandangan dan permintaan Jemaah Menteri, tetapi Baginda tidak terikat untuk mengikut pandangan dan permintaan tersebut. Ringkasnya persetujuan Yang di-Pertuan Agong perlu diperolehi juga.

Prerogatif Agong

Misalnya, Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai apabila Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi kuasa perundangan Persekutuan. Ordinan yang digubal di bawah Perkara 150(2B) ialah bidangkuasa Parlimen. 

Apabila dua buah Majlis Parlimen tidak dapat bersidang maka Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak di atas prerogatif Baginda sebagai badan Perundangan Persekutuan. 

Namun begitu, itu tidak bermakna Baginda tidak perlu merundingi pihak-pihak berwibawa sekaligus dianggap sebagai “absolute monarchy” kerana Yang di-Pertuan Agong masih terikat dengan sumpah jawatan dan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan di atas juga tidak menghalang Jemaah Menteri untuk mengusulkan sebarang Rang Undang-undang yang diperlukan dalam tempoh  darurat.  Jemaah Menteri boleh berbuat demikian di bawah Perkara 150(5). 

Perkara 150(5) berbunyi:

(5) Tertakluk pada Fasal (6A), semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara, jika didapati oleh Parlimen bahawa undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat itu; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi suatu Rang Undang-undang untuk sesuatu undang-undang yang sedemikian, atau bagi sesuatu pindaan kepada sesuatu Rang Undang-undang yang sedemikian, dan juga tidaklah terpakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang menghendaki apa-apa keizinan atau persetujuan bagi meluluskan sesuatu undang-undang atau apa-apa rundingan mengenainya atau yang menyekat permulaan kuat kuasa sesuatu undang-undang selepas undang-undang itu diluluskan atau yang menyekat Rang Undang-undang daripada dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya.

Kuasa Parlimen

Bagi kedua-dua kaedah penggubalan ordinan dan undang-undang dalam tempoh darurat, sama ada di bawah Fasal (2B) mahupun Fasal (5), kuasanya terletak pada Parlimen. Parlimen menurut Perkara 44 ialah Yang di-Pertuan Agong dengan dua buah Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Anggapan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 40(1) pada ketika  Baginda melaksanakan fungsi kuasa perundangan Persekutuan adalah bercanggah dengan Perkara 44, bahkan dengan peruntukan Perkara 40(1) itu sendiri. 

Hal ini kerana kuasa perundangan berdiri secara bebas dalam prinsip pemisahan kuasa, lantaran perlu diasingkan dengan fungsi kuasa Eksekutif di bawah Perkara 39. Malahan perlu dinyatakan bahawa Perkara 43(3) mensyaratkan kebertanggungjawaban Jemaah Menteri kepada Parlimen.

Kedudukan di atas sudah begitu jelas dalam pembahagian cabang kuasa. Jika tanggapan Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat di bawah Perkara 40(1) secara mutlak dibenarkan, adakah Baginda boleh menolak rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Perkara 66 dan Perkara 159 begitu juga sebarang keputusan Mahkamah jika dinasihati Jemaah Menteri? 

Pada hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan amalan tadbir urus yang baik buat semua pihak untuk menghormatinya. Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan masing-masing sebagai pelindung prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. 

Pada sisi yang sama, setiap anggota pentadbiran, ahli Majlis Parlimen dan Badan Kehakiman yang mengikrarkan sumpah di bawah Jadual Keenam wajib mempertahankan, melindungi dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. – 31 Julai, 2021.

* Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen