Ahli Parlimen desak speaker Dewan Rakyat benar mesyuarat hibrid jawatankuasa pemilih


Persidangan lima hari khas yang bermula hari ini, tidak mempunyai perbahasan atau pengundian seperti agenda di dalam kertas Aturan Mesyuarat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

DEWAN Rakyat yang bersidang lima hari ni perlu membenarkan undian untuk meminda Aturan Mesyuarat untuk membolehkan jawatankuasa pemilih mengadakan mesyuarat hibrid atau dalam talian, kata dua ahli Parlimen yang mempengerusikan jawatankuasa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh dan Ketua Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Dr Kelvin Yii berkata Aturan Mesyuarat yang memerlukan semua jenis mesyuarat Parlimen diadakan di premis bangunan Parlimen, perlu dipinda.

Sebagai alternatif, jika diizinkan, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga boleh menggunakan kuasanya untuk membenarkan mesyuarat tersebut diadakan dalam bentuk hibrid, kata Wong dan Yii dalam satu kenyataan hari ini.

Yii, ahli Parlimen Bandar Kuching berkata dalam surat kepada Azhar hari ini mesyuarat hibrid akan membolehkan ahli Parlimen yang merupakan ahli jawatankuasa pemilih dan yang berasal dari Sarawak dan Sabah untuk mengambil bahagian dengan lebih mudah.

“(Jika tidak) ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak perlu menjalani kuarantin setiap kali mereka menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilih,” kata Yii.

Sekiranya Azhar tidak boleh menggunakan kuasa Speaker di bawah Aturan Mesyuarat untuk membuat peraturan baharu bagi mengizinkan mesyuarat hibrid, maka beliau perlu mengizinkan ahli

Parlimen mengemukakan usul mengenai hal itu dan seterusnya menjalani undian.

Undian adalah untuk meminda Aturan Urusan Mesyuarat 83 (5A) dan sebahagian daripada 83 (5) yang menyatakan semua jenis mesyuarat dan perbicaraan Parlimen mesti diadakan di bangunan Parlimen.

“Ini penting untuk memastikan jawatankuasa pemilih dapat terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan,” kata Wong dan Yii dalam kenyataan bersama mereka.

Persidangan lima hari khas yang bermula hari ini, tidak mempunyai perbahasan atau pengundian yang dijadualkan mengikut agenda di dalam kertas Aturan Mesyuarat. 

Persidangan ini diadakan terutamanya bagi para menteri memberi penjelasan kepada anggota Parlimen mengenai bagaimana kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan pelan pemulihan negara, darurat, vaksinasi dan kewangan. – 26 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen