Perikatan perlu tukar strategi ‘lockdown’


HARI ini negara mencatatkan angka statistik Covid-19 yang membimbangkan. Pertama, jumlah kumulatif Covid-19 di negara kita melangkaui angka satu juta kes, iaitu 1,013,438 kes.

Kedua, jumlah kes baharu terus menunjukkan angka tertinggi dua hari berturut-turut iaitu 15,902 semalam, manakala 17,045 pada hari ini.

Jumlah kes harian Covid-19 kekal tinggi di Selangor dan Kuala Lumpur walaupun lanjutan PKP penuh masih berjalan.

Sebagai perbandingan, pada hari pertama PKP penuh 1 Jun 2021, kes harian adalah 7,105 kes. Jumlah kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 872 kes dan kes kematian harian adalah 71 kes.

Pada 25 Julai 2021, kes harian adalah 17,045 kes (peningkatan dan masih belum turun ke 4,000). Jumlah kes ICU adalah 970 kes (peningkatan) dan kes kematian harian adalah 92 kes (peningkatan).

Ini bermakna, Pelan Pemulihan Negara makin mencabar untuk kita ke fasa kedua, sekiranya kerajaan kekal dengan pelan “lockdown” yang sama. 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara dengan mengambil kira beberapa faktor. 

Untuk kita beralih dari fasa pertama ke fasa seterusnya, beberapa faktor atau nilai ambang perlu dipenuhi:-

  1. Purata kes harian Covid-19 mestilah kurang daripada 4,000 kes sehari untuk tempoh 7 hari berturut-turut.
  2. Penggunaan katil di wad ICU adalah pada paras sederhana.
  3. Kadar vaksinasi adalah 10% daripada populasi penduduk negara.

Setakat ini, petunjuk positif adalah hanya kadar vaksinasi yang melangkaui 500,000 dos sehari. Namun begitu, aspek vaksinasi sahaja tidak menjamin penurunan kes Covid-19 kerana masih banyak kes yang terjadi setelah divaksin.

Harus diingat bahawa vaksinasi tidak memberi jaminan 100% untuk tidak dijangkiti Covid-19.

Sektor kilang atau Kluster Tempat Kerja kekal menjadi kluster dominan harian bagi PKP 3.0, sekitar 90% setiap hari.

Sektor kilang dan tauke-tauke ini merasakan diri mereka kebal dari Covid-19. Yang jadi mangsa adalah pekerja dan keluarga mereka. Bayangkan berapa ramai anak-anak yang menjadi yatim piatu disebabkan kluster tempat kerja.

Sektor kilang di Selangor dan Kuala Lumpur masih dibuka beroperasi dan kebanyakannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan tiada had pekerja pada sesuatu masa.

Keadaan seperti ini menyebabkan kes harian tetap mencanak dan tidak akan turun. Ianya umpama kita patah tangan kanan, tetapi yang dirawat adalah kaki kiri. 

Masalah Covid-19 di negara kita tidak akan diselesaikan jika kluster terbesar, iaitu kluster tempat kerja tidak ditangani dengan betul.

Kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu dalam membanteras Covid-19. Pemimpin perlu menunjukkan contoh baik dalam menangani Covid-19. 

Jangan pula rakyat dikurung, tetapi pemimpin bebas menari dan berdansa. Ada juga yang melanggar SOP dengan ramai-ramai menjamu durian.

Semua pihak perlu berkorban untuk kebaikan negara kita. – 25 Julai, 2021.

* Shahir Adnan, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen