Pengajian tinggi perlu rombakan radikal 


RAMAI pensyarah menghubungi saya mengadu tekanan dihadapi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran atas talian.

Jika di media sosial pula, para siswa membawa 1,001 isu berkaitan mereka daripada isu yuran sehinggalah ke isu pembelajaran atas talian yang menyebabkan mereka menghadapi tekanan. 

Isu ini bukan hanya melanda kita di Malaysia. Ia isu global kecuali di beberapa negara maju yang bergerak secara progresif, dinamik dan efisien di dalam menyikapi segala perubahan semasa dan sentiasa maju dengan inovasi terkini.

Dalam artikel ini saya hanya ingin menumpukan kepada isu pembelajaran atas talian bagi warga institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S). Isu yang acap kali saya bawakan di Parlimen dan juga media. 

Setelah hampir dua tahun wabak Covid-19 melanda, kita dapati pendekatan diambil oleh Kementerian Pengajian Tinggi masih di tahap konvensional dan tidak membantu perkembangan dunia akademia.

Di kala menghadapi wabak yang tidak pernah dihadapi oleh umat global, memang kita perlukan pendekatan radikal, tidak konvensional dan berani.

Ya, memang kita tiada penanda aras untuk dijadikan panduan, tetapi kita oleh belajar dari negara-negara maju, dan kita juga boleh mencuba ide-ide yang progresif. 

Bagi mendepani hal ini, sektor pendidikan tinggi tidak boleh lagi membezakan di antara IPTA dan IPTS, mahupun TVET dan akademik. Hakikatnya, pengajian tinggi adalah pengajian tinggi.

Pengajian tinggi ataupun tahap tertiari merupakan aset penting bagi negara, seperti mana pentingnya industri dan juga modal insan lain.

Tekanan

Para pensyarah yang selama ini terbiasa dan juga selesa dengan pendekatan konvensional kini terpaksa bergelut untuk menghasilkan bahan-bahan pengajaran secara atas talian. 

Apabla kita katakan bahan pengajaran, ianya bukan sekadar kelas secara langsung atas talian melalui pelantar-pelantar yang ada sahaja.

Ia juga bukan sekadar menyediakan pembentangan menggunakan power point, canva atau keynote sahaja. 

Ia melibatkan penyediaan latihan berkaitan, mencari dan mengenal pasti video berkaitan, menyediakan bank soalan dan jawapan, menyediakan ujian dan peperiksaan atas talian dan juga yang lebih penting sentiasa mengemaskinikan Learning Management System (LMS) mengikut universiti masing-masing. 

Bunyi “pembelajaran atas talian” nampak mudah, hakikatnya ia mempunyai elemen yang mesti diperkukuhkan untuk memperlengkapkan eko-sistem tersebut.

Bagi para pensyarah yang senior, mereka terpaksa dikerahkan untuk mempelajari kesemua itu, kecualilah mereka mengajar di universiti bertaraf online distance learning (ODL) ataupun yang telah pun menggunakan kaedah blended learning

Mereka mungkin sudah dihantar berkursus, diberikan latihan dan terpaksa dipantau agar mengikuti kesemua proses penyediaan bahan-bahan tersebut. Ini bukan mudah! 

Hakikatnya, ramai pensyarah yang mengalami tekanan di awal waktu bermulanya PKP dahulu. Kini ramai yang telah terbiasa, namun mereka kini sibuk menyesuaikan diri dengan norma baharu tersebut. 

Bagaimanapun, oleh kerana dasar asas bahawa pendekatan pengajaran dan pembelajaran atas talian tidak dilaksanakan, maka majoriti masih mengikuti jadual biasa sebelum norma baharu. 

Makanya ramai yang lebih selesa melakukan kuliah mengikut jadual biasa, dengan memberikan kuliah sepertimana mereka di dalam dewan kuliah. 

Kesihatan

Hasilnya, ramai di kalangan pensyarah kini mengalami sakit belakang, kerana terpaksa berkuliah, melaksanakan amali dan berinteraksi di hadapan skrin komputer berjam-jam lamanya. Manakala para siswa pula terpaksa mendengar mereka secara real time

Ini memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental para pensyarah dan juga siswa. Hakikatnya, pembelajaran masih seperti kaedah lama, ia hanya dipindahkan ke dalam talian.

Setelah hampir dua tahun wabak melanda, malang sekali KPT yang menaungi IPT di seluruh negara masih tidak dapat memberikan kepimpinan dan panduan untuk IPT di seluruh negara untuk memperbaiki keadaan, apatah lagi muncul dengan dasar dan pendekatan yang lebih kreatif dan mesra warga akademia, mahupun pelajar. 

Isu utama yang melanda IPTA/S, terutamanya IPTA seperti yang saya sebutkan di Parlimen ialah kurangnya bahan berkualiti untuk online learning dan juga tiada eko-sistem yang mapan untuk tujuan tersebut. 

Maka, kini di pelbagai pelantar media sosial kita dapati keluhan para pensyarah yang mengalami tekanan, dan ramainya siswa yang mengalami lesu upaya (burnt out). 

Apabila disebutkan bahan berkualiti ianya bukan sahaja bahan mengajar yang disediakan oleh para pensyarah semata-mata, tetapi ia terangkum di dalamnya infrastruktur, infostruktur, pelantar, bahan bantuan mengajar, jadual yang anjal dan juga sumber yang berkualiti dan menepati suasana semasa pembelajaran berdasarkan ODL di kala PKP.

Cadangan 

Situasi ini memerlukan kepada pendekatan luar konvensional dan perubahan polisi. Saya telah berkali-kali menggesa di Parlimen dan di media agar KPT: 

1) Melakukan usaha agar semua IPTA/S berkolaborasi di dalam pelbagai aspek dan Perkongisan pintar merentasi IPTA/S dan universiti luar negara wajar diperkukuhkan.

Seperti perkongsian bahan, terutamanya dengan memperbanyakkan bahan Open Education Consortium (OEC) melalui sistem Massive Online Open Courses (MOOC).

Perkongsian kepakaran, perkongsian ruang (pelajar dari mana-mana universiti boleh menggunakan fasiliti di mana-mana universiti dalam negara), perkongsian subjek mengajar melalui sistem pemindahan kredit dan micro-credential.

Dengan cara ini, IPT di seluruh Malaysia akan bergerak sebagai satu keluarga besar, sebagai satu entiti yang bekerjsama dan bukan lagi bersaing di kala pandemik ini. 

Ia juga akan mengurangkan pergerakan di kalangan siswa, terutamanya yang duduk di Semenanjung tetapi belajar di Sabah dan Sarawak, dan sebaliknya.

Kebanyakan pelajar tidak perlu pergi jauh lagi untuk menggunakan makmal, perpustakaan, malah konsultasi dengan pakar di dalam bidang-bidang yang mereka pelajari.

IPTA/S juga harus bekerjasama untuk membangunkan dan berkongsi bahan/ sumber. Geran untuk pembangunan sumber mestilah diberikan pada waktu ini, terutamanya kepada IPTA/S yang sudah pun mempunyai prasarana dan pakar-pakar untuk ODL. 

Melalui cara ini, banyak IPTS yang kini sedang mengalami kekurangan pelajar boleh diselamatkan.

Percuma

2) Hakikatnya, di negara-negara maju, kebanyakan universiti terkenal telah pun mengadakan banyak kursus secara atas talian secara percuma. 

Bahan-bahan yang digunakan begitu berkualiti dan para peserta boleh mendapatkan sijil jika mereka berjaya mengikuti kesemua modul dan menduduki peperiksaan ataupun menjalankan kerja kursus. 

Pihak IPTA/S perlu memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan universiti-unversiti tersebut untuk menggunakan kursus-kursus yang serupa yang diambil oleh para siswa. 

Konsep pemindahan kredit dan micro-credential boleh dilaksnakan. MQA perlu dilibatkan dan perlu membuat anjakan paradigma berhubung isu ini. 

Bayangkan apabila bergraduat nanti, para siswa kita bukan sekadar bergraduat dengan ijazah dari universiti yang mereka belajar semata-mata, malah mereka juga telah mengikuti kursus-kursus atas talian di universiti terkemuka dunia. 

Jika mereka lulus, dan membuat bayaran kepada universiti tersebut, mereka akan mendapat sijil dari universiti berkenaan.

Di samping itu, kerjasama seumpamanya juga akan memberi peluang kepada para pensyarah IPTA/S menggunakan bahan-bahan berkualiti yang telah ditawarkan oleh universiti terkemuka dan mengolahnya selaras dengan pendekatan mereka sendiri. 

Melalui cara ini, para pensyarah akan kurang tertekan untuk menghasilkan bahan yang berkualiti. 

3) Di samping itu, IPTA/S boleh memanfaatkan bahan-bahan berkualiti yang boleh diakses secara percuma di internet seperti Khan Academy, Coursera, TED-Ed dan lain-lain lagi. 

Walaupun sudah terdapat usaha individu dari kalangan pensyarah dan pelajar untuk menggunakan bahan-bahan tersebut, namun jika ianya dilakukan secara rasmi, ia akan lebih bermanfaat.

Kesemua ini boleh dilaksanakan secara mapan jika ada dasar dan usaha secara terpimpin dari KPT.  Demi memastikan kecemerlangan dan kewibawaan pengajian tinggi di Malaysia, ia perlu diuruskan oleh ahli akademik dan profesional. 

Hal ini boleh dicapai dengan mengurangkan campurtangan politik melalui penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546). 

Kesejahteraan mental dan kesihatan warga IPT sama ada pensyarah mahupun pelajar perlu diutamakan. Mereka adalah mercu intelektualisme negara. Jangan diabaikan! 

Kepada para siswa dan pensyarah, bertabahlah! 

Negara perlukan anda, rakyat perlukan anda! – 23 Julai, 2021.

* Dr Maszlee Malik, bekas menteri pendidikan yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen