Apa rasional buka sekolah 1 September?


SAYA mengambil maklum pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perancangan untuk membuka semula sekolah di seluruh negara bermula 1 September 2021.

Seperti biasa, KPM di bawah kepimpinan menteri kanan Mohd Radzi Md Jidin dan kedua orang timbalannya masih lagi membuat keputusan ‘pukul rata’ untuk semua sekolah di seluruh negara tanpa mengemukakan data saintifik dan mengambil kira isu perbezaan keperluan antara sekolah di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Saya telah dihubungi oleh ramai pihak, samada dari golongan pendidik, pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN), malah dari kalangan ibu bapa berhubung keputusan tergesa-gesa KPM ini.

Kebanyakan menzahirkan kerisauan mereka pada perkara-perkara berikut:

1. Kes jangkitan baru dan tahap kematian akibat Covid 19 masih berada di tahap yang tinggi (lima angka selama berminggu-minggu) dan akan mengambil masa untuk turun dan stabil rendah. Majoriti Ibubapa di dalam keadaan bimbang untuk melepaskan anak-anak mereka ke sekolah.

Bagi pihak ibu bapa, kesihatan dan nyawa anak-anak murid sepatutnya menjadi keutamaan KPM memandangkan sehingga kini murid-murid bawah 18 tahun tidak akan divaksinkan.

2. Hari persekolahan sehingga akhir tahun 2021 berbaki hanya dua bulan sahaja lagi untuk tamat. Keputusan membuka persekolahan akan melibatkan persiapan anak-anak untuk pergi ke sekolah semula. Persiapan semula ke sekolah memerlukan kos tambahan pada ibubapa. 

Keputusan ini akan menyusahkan ramai ibu bapa yang masih bergelut dengan keadaan ekonomi mereka yang tidak menentu khususnya ibubapa kategori B40 dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Mana SOP?

3. KPM hanya mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 1 September tanpa membentangkan secara perincian gerak kerja lengkap SOP yang teratur dan diyakini berkesan berdasarkan sains dan data. 

Ramai ibu bapa dan guru bimbang pengumuman kali ini akan mengulangi kesilapan pembukaan sekolah pada bulan April yang lalu sehingga banyak sekolah akhirnya terpaksa ditutup selepas dua minggu dibuka. 

Akibatnya, pembelajaran anak-anak lebih terganggu akibat keputusan KPM yang ‘flip flop’ ini.

4. Ramai guru juga tertanya-tanya mengapakah KPM perlu tergesa-gesa mengumumkan pembukaan sekolah pada 1 September sedangkan JPN, PPD dan guru-guru telah melakukan banyak penambahbaikan PdPR sepanjang 16 bulan yang lalu dan keputusan SPM 2020 menunjukkan jelas PdPR boleh dilaksanakan.

5. Ramai ibu bapa yang merasakan apakah rasionalnya keputusan KPM tergesa-gesa untuk membuka sekolah pada 1 September nanti sedangkan program agihan 150,000 komputer masih lagi belum selesai untuk membantu murid miskin? 

Apakah pengumuman pembukaan semula sekolah pada 1 September sekadar untuk menjadi alasan untuk tidak menyelesaikan baki agihan komputer yang dijanjikan itu?

Setuju bersyarat

Bagaimanapun, saya berpandangan ramai guru dan ibu bapa boleh bersikap rasional untuk bersetuju sekolah dibuka semula dengan beberapa syarat:

1. KPM mestilah membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar kategorikan non vaksin di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data.

2. KPM perlu selesaikan proses vaksinasi kepada semua guru dan pekerja sekolah tanpa terkecuali. Keselamatan dan kesejahteraan guru dan pekerja sekolah, termasuk kakitangan kantin dan pengawal keselamatan perlu diberikan keutamaan di dalam apapun keputusan yang diambil.

3. KKM mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi pada pelajar kelas peperiksaan SPM, STAM dan STPM secara sukarela. Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin.

Vaksin

4. Hanya murid yang ahli keluarga mereka telah divaksin (sekurang kurangnya dos pertama) sahaja dibenarkan ke sekolah untuk elakkan wujud kluster sekolah.

5. KPM harus berbincang dengan NUTP, Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), persatuan-persatuan ibu bapa dan pihak Malaysian Paedetric Association (MPA) sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung isu ini.

6. Jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, pastikan ianya dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada (a) sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu, (b) disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau, (c) kemudian baharulah pembukaan sekolah ke kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok. 

Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini.

Gilir-gilir 

7. Jadual persekolahan bergilir juga perlu dilaksanakan selain dari SOP yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan faktor kepadatan di sekolah mengulangi insiden kluster sekolah sekali lagi. 

Sebagai contoh, bagi sekolah rendah, tahap satu pada Isnin dan Rabu, tahap dua pada Selasa dan Khamis; bagi sekolah menengah pula, tingkatan satu dan dua pada Isnin dan Rabu, tingkatan tiga dan empat pada Selasa dan Khamis, ataupun apa yang terbaik menurut pertimbangan pihak sekolah demi mengurangkan bilangan pelajar dalam sekolah setiap hari. 

Bagi calon SPM dan STPM pula, sesi persekolahan mereka janganlah diganggu.

8. Murid-murid tahap satu di sekolah rendah (darjah satu sehingga tiga) boleh kembali ke sekolah dengan pemantauan SOP yang lebih ketat. 

Bilangan murid di dalam kelas mesti dikecilkan dan waktu persekolahan dipendekkan buat mereka. 

Banyakkan waktu untuk mereka berada di luar kelas dan di tempat terbuka sepanjang sesi persekolah sepertimana yang disyorkan oleh ramai pakar perubatan. 

Mereka ini perlu diutamakan untuk kembali ke sekolah demi mengelakkan keciciran di peringkat rendah.

Autonomi

9.  Apa yang utama ialah apa sahaja keputusan yang diambil oleh KPM, kuasa autonomi hendaklah diberikan kepada pihak sekolah untuk merangka apa yang terbaik dengan keadaan lokaliti mereka berdasarkan panduan dari semua pemegang taruh dan juga MKN.

Seperkara penting ialah kerajaan perlu sedar, di kala ini defisit kepercayaan di kalangan rakyat terhadap KPM terlalu serius dan parah. Malah di kalangan guru-guru pun tekanan yang mereka hadapi amat membimbangkan. 

Hal yang seumpamanya juga dialami oleh ibu bapa dan murid-murid kerana tiadanya perancangan dan perlaksanaan yang strategik dan tersusun oleh pihak KPM. KPM perlu bertindak lebih bijak, cermat berstrategi serta telus kali ini. 

Pendidikan bukanlah sesuatu untuk dipolitikkan, pendidikan anak-anak merupakan masa depan negara, maka lakukanlah dengan penuh amanah dan professional. – 22 Julai, 2021.

* Dr Maszlee Malik, bekas menteri pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen