Pengalaman hilang janji temu vaksin dalam aplikasi MySejahtera


“ANDA akan diberikan janji temu baru mengikut fasa dan alasan yang diberi. Janji temu baru akan diberi dalam jangka masa 30 hari atau sebaik sahaja kekosongan slot janji temu.”

Itu merupakan nota yang diberikan dalam aplikasi MySejahtera kepada mana-mana waris yang secara tidak sengaja mengeluarkan senarai ‘dependent’ mereka.

Malah, lebih merumitkan lagi apabila individu yang sudah mendapatkan jadual janji temu terpaksa menunggu dalam jangka masa 30 hari atau terdapat kekosongan.

Ceritanya bermula apabila saya ingin menambah nama bapa saya selaku ‘dependent’. Saya tidak dibenarkan untuk menambahnya atas alasan nombor kad pengenalan bapa didaftarkan di MySejahtera orang lain.

Setelah saya semak, bapa memaklumkan beliau ada merujuk dengan seorang wakil pendaftaran vaksin di kampung bagi  mendapatkan janji temu sekitar Mac 2021.

Bagaimanapun, tempoh menunggu penjadualan janji temu untuk golongan berusia lebih 60 tahun khusus di kawasan luar bandar agak panjang kerana kadar vaksinasi rendah ketika itu.

Oleh itu, saya memutuskan untuk mendaftarkan sendiri nama bapa mengunakan talian ‘hotline’ Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksisn (JKJAV) 1-300-888-828 pada Mei 2021.

Proses berjalan dengan lancar apabila pegawai khidmat pelanggan membantu mendaftarkan nama bapa, namun terdapat kemusykilan apabila saya tidak boleh menambah ke dalam aplikasi MySejahtera.

Hari berganti minggu, dan pada 25 Mei lalu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kerajaan akan membuka pendaftaran sukarela vaksin jenis AstraZeneca kepada individu berusia 60 tahun ke atas pada 26 Mei 2021.

Saya bersyukur apabila proses pendaftaran berjalan lancar dan jadual janji temu ditetapkan pada pagi 4 Julai 2021. Dipendekkan cerita, bapa saya selesai mendapatkan suntikan dos pertama AstraZeneca seperti yang ditetapkan.

Ketika proses pendaftaran sebelum disuntik, pegawai bertugas memaklumkan bahawa nama dan nombor kad pengenalan bapa didaftarkan atas ID MySejahtera orang lain.Pegawai berkenaan meminta agar saya dapat menghubungi nombor telefon wakil pendaftar vaksin itu bagi memudahkan proses suntikan dos kedua vaksin.

Saya berjaya menghubungi wakil pendaftaran vaksin tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Aisyah semalam.

Saya meminta beliau untuk mengeluarkan nama dan nombor kad pengenalan bapa saya daripada ID MySejahtera beliau.

Bagaimanapun, sejurus selepas berjaya menambah nama dan nombor kad pengenalan ‘dependent’, jadual janji temu untuk dos kedua yang sepatutnya pada 5 September 2021 hilang.

Alasan yang tertera pada MySejahtera adalah kerana “Mempunyai perkara lain yang perlu dilakukan”.

Saya menghubungi Aisyah semula untuk bertanya sama ada beliau membatalkan janji temu. Katanya, tidak. Beliau hanya mengeluarkan nama bapa dari senarai ‘dependent’.

Menurut Aisyah, sejurus nama dikeluarkan dari mana-mana ID MySejahtera data vaksin automatik terbatal dan individu berkenaan terpaksa menunggu janji temu baharu.

Malah, lebih mendukacitakan tarikh yang bakal diperoleh akan berubah daripada tarikh asal jadual vaksin bagi dos kedua.

Berdasarkan penelitian terhadap peristiwa di atas terdapat kelemahan yang ketara pada sistem dalam talian dan aplikasi MySejahtera yang dikhabarkan sebahagian daripada sistem yang menelan belanja hampir RM70 juta.

Bagaimana data janji temu vaksinasi individu mudah “hilang”?  Adakah syarikat pembekal sistem dan aplikasi ini tidak meneliti senario ini terlebih dahulu.

Saya ingin mencadangkan supaya sistem dan aplikasi MySejahtera ini ditambah baik dan dikaji semula dari segi perjalanan proses pendaftaran hingga proses suntikan vaksin. – 21 Julai, 2021.

* Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, jurutera sistem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen