Kerajaan belanja bantu rakyat hanya RM83b


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN), terutamanya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, harus berhenti menipu dan mengelirukan rakyat Malaysia mengenai saiz pakej rangsangan ekonomi (PRE) yang telah diumumkan selama ini. 

Merujuk kepada artikel MalayMail pada 18 Julai 2021 yang memetik laporan Kementerian Kewangan bahawa pakej rangsangan Malaysia adalah setanding negara-negara maju, ianya tidak berasas sama sekali. 

Kerajaan PN yang terdiri daripada Umno-PAS-Bersatu tidak pernah berbelanja secara mencukupi untuk menyokong ekonomi negara. 

Walaupun kerajaan menyatakan nilai PRE setakat ini adalah RM530 bilion, hakikatnya hanya RM83 bilion ataupun kurang daripada 6% nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang disuntik daripada kantung kerajaan. 

Ini jauh lebih rendah dengan apa yang diumumkan oleh negara-negara maju lain, USA (26.3%), Singapura (20%), New Zealand (19.3%), Australia (19.1%) dan UK (.8). Oleh itu, dakwaan suntikan 20% nilai KDNK Malaysia adalah meleset sama sekali. 

Lebih menyedihkan, hampir 57% daripada nilai PRE RM530 bilion, iaitu RM300 bilion, sebenarnya dibayar oleh rakyat sendiri dan bukannya kerajaan! 

RM210 bilion datang daripada sumber moratorium, manakala RM90 bilion datang daripada sumber KWSP termasuk pengeluaran Akaun 1 dan 2. Tetapi ini tidak termasuk RM58 bilion nilai i-Sinar yang telah diumumkan. 

Bagi KWSP, perincirian adalah seperti berikut:

Pengeluaran i-Citra: RM30bil

Pengeluaran i-Lestari: RM40bil

Potongan caruman KWSP (pakej Prihatin): RM10bil

Program Khidmat Rundingan Majikan: RM10bil

Bagi moratorium pula, perincian adalah seperti berikut:

Moratorium penuh pertama: RM100bil

Moratorium penuh kedua: RM80bil

Moratorium bersasar: RM30bil

Langsung tidak masuk akal untuk kerajaan secara senyap memaksa rakyat menggunakan duit mereka sendiri untuk menolong diri sendiri tatkala krisis ekonomi melanda. 

Moratorium  pinjaman tidak membantu kerana peminjam terpaksa membayar faedah dalam tempoh moratorium. 

Tidak seperti kerajaan Hungary, bukan sahaja moratorium berlangsung secara berterusan dari Mac 2020 sehingga Ogos 2021, faedah juga digantung dalam tempoh ini. Inilah contoh kerajaan yang prihatin terhadap rakyat. 

Apa yang ada di Malaysia tidak lebih daripada moratorium “banker jaga banker”.

Justeru, kerajaan PN perlu telus untuk melaporkan amaun yang dibelanjakan oleh kerajaan hanyalah RM83 bilion dalam PRE ini. Parlimen adalah premis terbaik buat kerajaan mendedahkan jumlah sebenar ini yang mana ia boleh dibahaskan secara tuntas. 

Hakikatnya, jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan skala penguncupan ekonomi negara. 

Kerajaan tidak wajar memasukkan anggaran jumlah pengeluaran KWSP dan nilai moratorium dalam nilai PRE. Nilai PRE sebenarnya lebih rendah daripada apa yang diumumkan kerana bukan semua rakyat mengeluarkan wang KWSP. 

Ini juga akan menyebabkan amaun yang disuntik ke dalam ekonomi lebih rendah daripada yang sepatutnya. Akibatnya, strategi pemulihan ekonomi akan kurang berkesan dan rakyat akan terus merana. – 19 Julai, 2021.

* Faiz Fadzil, ahli jawatankuasa Amanah Nasional

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen