Bekas pembantu penyelidik saman Anwar kes serangan seksual


Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim fail saman terhadap presiden PKR itu berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya di kediaman Anwar tiga tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2021.

BEKAS pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap presiden PKR itu berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman Anwar tiga tahun lepas.

Saman itu difailkan Muhammed Yusoff Rawther, 28, selaku plaintif, menerusi Tetuan Abd Halim Ushah & Associates, semalam di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Anwar, 73, sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit defendan iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India, kepada defendan.

Plaintif mendakwa Anwar melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya dan beliau juga menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan.

Dakwanya, defendan ketika itu jelas kelihatan marah dan kecewa dan sebelum beredar defendan memberitahu plaintif, “I want to do this again” (Saya mahu melakukan ini semula) yang mana plaintif menjawab beliau sama sekali tidak akan berdua-duaan di dalam bilik dengan defendan.

Selepas kejadian itu, Yusoff mendakwa tiada sebarang komunikasi antara mereka untuk tempoh lebih kurang sebulan, namun plaintif masih bekerja dengan defendan di pejabat itu sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Plaintif, yang meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun, 2019 berkata satu laporan polis dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember, 2019 dan plaintif menjalani ujian poligraf (mengesan pembohongan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 17 Disember tahun sama dan mendakwa defendan enggan menjalani ujian berkenaan.

Menurut Yusoff, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media menyatakan tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mental plaintif kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mahajoth Singh yang mewakili plaintif ketika dihubungi hari ini melalui aplikasi WhatsApp mengesahkan tuntutan saman itu difailkan semalam dan pihaknya masih belum menyerahkan salinan tuntutan saman kepada Anwar.

“Kami sedang menunggu untuk mendapatkan writ meterai untuk diserahkan kepada Anwar. Setakat ini, mahkamah belum menetapkan tarikh,” katanya. – Bernama, 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen