Anthony Loke tidak lari, nekad pertahan Seremban


The Malaysian Insight

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke tidak gentar untuk berdepan calon MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2018.

WALAUPUN dengan pertambahan bilangan pengundi Melayu di kawasan Parlimen Seremban berikutan pelaksanaan persempadanan semula, penyandangnya, Anthony Loke daripada DAP nekad bertahan dan akan berjuang untuk mengekalkan kerusinya.

Loke, yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP memberitahu The Malaysian Insight menyedari ia merupakan satu cabaran besar untuk mempertahankan kerusi itu memandangkan ia akan menjadi kerusi campuran dengan lebih banyak pengundi Melayu selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Ini satu cabaran besar bagi DAP tetapi jika parti mencalonkan saya, saya akan kekal.

“Anda tidak boleh mengelak daripada cabaran dalam politik ... Jika Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon bertanding dan saya ke kerusi lain, MCA akan fikir saya takut dan mereka memperolehi kemenangan moral,” kata Loke yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Beliau berkata berdasarkan cadangan kawasan pilihan raya baru yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2016, kerusi Parlimen Seremban akan menyaksikan peningkatan pengundi Melayu, daripada 44% kepada 47%, dan penurunan pengundi Cina, daripada 41% kepada 37%.

Perubahan dalam komposisi pengundi adalah hasil persempadanan semula tiga daerah pengundian majoriti Cina dari Seremban ke kawasan Parlimen Rasah.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon bakal bertanding untuk kerusi Seremban pada Pilihan Raya Umum ke-14.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Januari, 2018.

Seorang ahli daripada Unit Penyelidikan DAP berkata perubahan itu akan mengukuhkan peluang DAP mengekalkan Rasah tetapi sebaliknya bagi Seremban.

Loke berkata senario seperti itu memberi manfaat kepada MCA, yang secara rasmi mengumumkan Chong akan bertanding di Seremban pada tahun lepas.

Loke memenangi kerusi Seremban dengan majoriti 12,553 undi pada 2013.

Daripada 102,305 pengundi berdaftar pada 2013, 52% adalah kaum Cina, 28% orang Melayu dan 20% kaum India.

Beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Rasah pada 2008.

“Sekiranya kita tidak dapat mengekalkan Seremban, kerusi yang kita telah menang, kita boleh lupakan saja soal memenangi Putrajaya.

“Walaupun negara menghadapi begitu banyak masalah, seorang perdana menteri dengan begitu banyak skandal, dengan bekas perdana menteri pergi beralih kepada pembangkang, kita masih tidak dapat menggulingkan rejim korup ... Progres demokrasi Malaysia akan mengalami musim sejuk yang panjang, ia akan menjadi sukar (untuk memulakannya sekali lagi),” katanya. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen