Mana janji komputer riba Ihsan Johor?


SETAHUN selepas PdPR dilaksanakan, masih ada pelajar yang tidak mampu mengikuti PdPR dalam talian disebabkan tiada peranti yang sesuai.

Pada Sabtu lalu, saya menerima satu permintaan daripada seorang ibu. Keluarganya hilang pendapatan, anaknya yang berumur 8 tahun sudah tidak mengikuti PdPR selama 3 bulan kerana peranti yang rosak.

Sebagai seorang ibu, pembelajaran anak adalah perkara paling penting bagi saya. 

Oleh demikian, saya menyerah sebuah tab baharu kepada adik tersebut pada keesokan harinya.

Sejak PdPR dilaksanakan, saya sudah menghadiahkan 65 tab ataupun komputer kepada keluarga B40.

Bagaimanapun, isu yang lebih penting di sini adalah, di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan oleh menteri kewangan pada November lalu? 

Mengapa penyerahan 150,000 buah komputer riba ini masih belum diselesaikan?

Bukan itu sahaja, di mana juga 8,000 peranti yang dijanji oleh kerajaan negeri Johor pada 10 Jun 2021 dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0? 

Sebulan selepas pengumuman dibuat, berapa peranti sudah diserahkan dan kepada siapa?

Penyerahan komputer riba yang sangat lambat dan kurang efisien oleh kerajaan pusat sudah lama dikritik oleh orang ramai. 

Saya harap kerajaan Johor juga tidak akan mengulang kesilapan ini. – 14 Julai, 2021.

* Teo Nie Ching, ahli Parlimen Kulai. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen