Putrajaya hanya belanjakan sedikit bantuan yang diumum, kata pakar ekonomi


Pakar ekonomi berkata rata-rata rakyat Malaysia menggunakan lebih banyak dana wang mereka sendiri berbanding bantuan yang diumumkan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021

DATA berdasarkan pengeluaran dana persaraan dan moratorium pinjaman menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan lebih banyak dana wang mereka sendiri berbanding bantuan yang diumumkan kerajaan untuk meneruskan hidup, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah di Malaysia Institute of Economic Research (MIER) itu berkata Putrajaya agak kedekut walaupun sudah mengumumkan peruntukan sebanyak RM530 bilion menerusi lapan pakej rangsangan ekonomi sejak Mac tahun lalu.

Daripada jumlah yang diumumkan termasuk pakej Pemulih, Muhammad berkata hanya sekitar RM83 bilion dibelanjakan oleh kerajaan, iaitu 16% daripada jumlah yang diumumkan.

“Ini hanya menyumbang sebanyak 6% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Perbelanjaan negara jiran lebih banyak berbanding kita.

“Perbelanjaan Singapura lebih tinggi berbanding Malaysia, begitu juga dengan Thailand dan Filipina,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jika dibandingkan dengan anggaran kerajaan RM120 bilion dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan pengeluaran yang disediakan menerusi pakej berkenaan, Muhammad berkata akhirnya rakyat yang membantu diri mereka sendiri.

Selain itu, moratorium pembayaran pinjaman boleh berjumlah RM210 bilion lagi.

Dua inisiatif ini sahaja empat kali lebih banyak daripada bantuan yang diumumkan kerajaan, kata Muhammed.

Bekas pengarah Institut Penyelidikan Khazanah itu juga berkata langkah untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan persaraan untuk bertahan pada pandemik menerusi inisiatif i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra adalah dasar yang tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah simpanan kita yang kita perlu gunakan di hari tua namun kerajaan tidak mahu berbelanja dan kedekut.

“Apa yang rakyat perlukan adalah bantuan pendapatan jangka pendek yang berterusan, bukan pengeluaran daripada simpanan mereka yang sudah pun kurang sebelum pandemik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan baru-baru ini berkata kira-kira 6.3 juta atau 42% pencarum KWSP mempunyai kurang RM10,000 dalam Akaun 1 dan 9.3 juta pencarum kurang RM10,000 dalam Akaun 2.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga berkata 3.7 juta pencarum KWSP yang layak untuk mengeluarkan simpanan mereka di bawah program i-Citra tidak boleh berbuat demikian jika akaun mereka kurang RM5,000. 

Muhammed berkata pakar ekonomi bimbang program I-Citra akan menimbulkan masalah lebih besar apabila pencarum KWSP tidak mempunyai wang yang cukup apabila mereka bersara.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata 3.7 juta pencarum KWSP yang layak untuk mengeluarkan simpanan mereka di bawah program i-Citra tidak boleh berbuat demikian jika akaun mereka kurang RM5,000. – The Malaysian Insight file pic, September 20, 2020.

Perlu tingkatkan bantuan kerajaan

Muhammed, yang juga penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadanngkan kepada kerajaan untuk meningkat bantuan kepada rakyat.

“Belanja untuk rakyat, beri bantuan untuk enam bulan akan datang, bukan secara one-off. Jangan terlalu obses dengan KDNK atau hutang negara dan sebagainya.

“Lihat saja pakej Pemulih yang diumumkan RM150 bilion. Namun yang dibelanjakan oleh kerajaan hanya RM10 bilion, hanya 7% daripada jumlah asal.

“Ini adalah Bantuan Khas Covid-19 (BKC) (RM5 bilion), program subsidi upah (PSU) (RM4 bilion) dan Geran Khas Prihatin (GKP) iaitu geran khas untuk syarikat mikro (RM1 bilion),” katanya.

Bantuan juga mesti disalurkan dengan cepat kerana BKC hanya akan diberikan kepada isi rumah miskin tegar pada bulan Ogos (RM 500), November (RM 500) dan Disember (RM 300).

“Berikan semua sekarang, mengapa tunggu hingga akhir tahun? Jika mahu sekatan pergerakan dan arahkan rakyat duduk di rumah, berikan bantuan secukupnya kepada mereka.”

Beliau juga memberikan contoh lain bagaimana bantuan yang disediakan kerajaan tidak mencukupi.

Ini termasuk GKP 4.0 yang bayaran pertamanya pada September (RM500) dan pada November (RM500).

Jumlah ini sangat lecil dan ia untuk 1 juta penerima sahaja daripada 2.4 juta peniaga kecil di Malaysia, katanya.

PSU 4.0 sebanyak RM3.8 bilion adalah satu lagi contoh.  

“Jumlah itu hanya memberi faedah kepada 2.5 juta pekerja untuk empat bulan. Namun di Malaysia, terdapat 11 juta pekerja yag mana separuh atau 5.5 juta majikan adalah dari industri kecil dan sederhana (PKS).

“Jika kita masukkan syarikat sederhana, kita melihat kira-kira 60% pekerja.

“Jumlah gaji yang diterima oleh pekerja setiap bulan di seluruh Malaysia adalah sekitar RM25 bilion sebulan, sedangkan subsidi upah ini bersamaan dengan RM1 bilion sebulan atau 4% dari kos upah pengusaha.

“Adakah ini banyak? Tidak cukup,” katanya.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong mengatakan pada bulan Jun bahawa hanya 8.6% PKS beroperasi seperti biasa sementara 91.4% menunjukkan bahawa mereka akan mengalami kerugian antara 25% hingga 100%. – 9 Julai, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen