Sidang Parlimen bagai melepas batok di tangga, kata Majlis Presiden PH


Pembangkang menganggap sidang Parlimen antara 26 Julai hingga 5 Ogos nanti seperti 'melepaskan batok di tangga'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

SIDANG Parlimen hujung bulan ini, lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara, terlalu pendek untuk membahaskan proklamasi darurat dan ordinannya serta pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sidang antara 26 Julai hingga 5 Ogos itu nanti seperti “melepaskan batok di tangga”, kata mereka, sekiranya tidak memenuhi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong yang mahu Parlimen membincangkan pelbagai perkara berkaitan pandemik.

“Kami amat kesal kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara Covid-19 tanpa sebarang perbahasan, dan Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan.

“Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda.

“Sekiranya kerajaan PN masih engkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai “melepaskan batok di tangga”,” kata tiga presiden parti-parti komponen PH dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan atas nama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara,” tambah mereka.

Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.

Kenyataan itu menyebut sidang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas adalah untuk menerangkan kepada ahli dewan mengenai pelan pemulihan negara dan meminda perundangan untuk menjalankan persidangan seterusnya secara hibrid.

Semua proklamasi darurat dan ordinan dibuat Yang di-Pertuan Agong juga akan dibentangkan di kedua-dua persidangan itu, selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Parlimen bukan pentas kuliah”

Majlis Presiden PH mengingatkan Parlimen mesti memainkan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua ahli Parlimen selain menegakan prinsip kebertanggungjawaban dan telus.

“Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah menteri tanpa diberi ruang membahas,” kata mereka.

Sehubungan itu, PH mahu kerajaan melibatkan pembangkang dalam merangka dan mengatur perjalanan sidang khas Parlimen, yang akan berlangsung pada hujung bulan ini, kata tiga presiden parti komponennya.

Ia berpendapat sidang khas Parlimen mesti mengusahakan penyelesaian keluar daripada krisis Covid-19 dan kesan ekonominya.

“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil. 

“Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” kata kenyataan itu.

Sidang Parlimen sebelum ini digantung susulan perisytiharan darurat berkuat kuasa antara 11 Julai hingga 1 Ogos ini. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen