PAS sahkan Selangor sekat peruntukan 


The Malaysian Insight

PAS mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

AHLI Parlimen PAS mengesahkan kerajaan negeri Selangor bertindak menyekat peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti Islam berkenaan di negeri itu. 

“Betul,” kata Adun Paya Jaras Khairuddin Othman kepada The Malaysian Insight ketika ditanya sama ada kerajaan negeri benar-benar bertindak demikian di Selangor. 

Menurut laporan terdahulu, Selangor turut menyingkirkan ketua penerangan PAS Roslan Shahrir Mohd Shahrir daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). 

Bagaimanapun, semakan dengan MPSJ menunjukkan pihak majlis itu masih belum menerima apa-apa makluman. 

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800,000 kepada setiap Adun dan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen di negeri itu setiap tahun. PAS kini mempunyai 13 Adun dan seorang ahli Parlimen (Hulu Langat).

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dilaporkan telah membuat keputusan sejak beberapa hari lalu untuk melaksanakan langkah itu.

Sin Chew Daily melaporkan, tindakan itu sama seperti memutuskan hubungan dnegan parti Islam berkenaan, walaupun Azmin memutuskan untuk mengekalkan tiga exco PAS agar tidak menjejaskan pentadbiran negeri. 

PAS secara rasminya memutuskan kerjasama dengan PKR pada 30 April tahun lalu. 

Namun, walaupun memutuskan kerjasama politik dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, Adunnya memutuskan untuk kekal dalam pentadbiran Selangor. 

Azmin, mengharapkan agar tindakan itu memutuskan hubungan dengan PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, turut membuat keputusan untuk menyingkirkan Adun PAS dari kabinet negerinya. 

Tetapi dengan pilihan raya yang semakin hampir dan tiada tanda PAS akan mengelakkan pertembungan tiga penjuru, iaitu langkah yang akan beri kelebihan kepada Barisan Nasional, keputusan itu tidak dapat dielakkan. 

PAS sebelum ini berkata akan bertanding pada 45 kerusi negeri dan 15 kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Sementara itu, Sin Chew turut memetik seorang lagi pemimpin PH yang berkata keputusan Azmin adalah sebagai membalas dendam tindakan kerajaan Kelantan yang tidak mahu melantik Adun PKR sebagai penyelaras di kawasan pilihan raya yang dipegang oleh BN.

PAS mempunyai 13 kerusi DUN di Selangor, manakala yang lain dipegang oleh DAP (14), PKR (13), Amanah (2), Umno (12) dan dua bebas. 

 Pada pilihan raya umum lalu, PKR dan PAS masing-masing bertanding di 21 kerusi DUN dan DAP 15. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen