Tiada kenaikan yuran pengajian IPT, kata menteri


Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi  (KPT) hari ini menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian dikenakan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain kerana kebanyakan pelajar kini tidak berada di kampus akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Dari awal kita telah maklumkan bahawa tiada kenaikan (yuran pengajian), dan bil berkaitan aktiviti lain memang kementerian sudah minta supaya tidak dicajkan walaupun universiti mempunyai autonomi mengenai yuran dan saya difahamkan ada universiti yang berikan diskaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menyarankan KPT mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua IPT berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas perkara lain, Noraini berkata setakat ini kira-kira 30% pensyarah universiti telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan sebahagiannya melibatkan tenaga pengajar fakulti perubatan dan pergigian.

“Keutamaan pelajar lain selepas ini tertumpu kepada mereka yang berada di kampus kerana tiada akses Internet untuk pengajian dalam talian serta pelajar tahun akhir,” katanya. – Bernama, 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen