Isu doktor kontrak dibawa ke Kabinet, kata Adham


Ragananthini Vethasalam

Lantikan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam sekian lama menjadi isu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

SUSULAN kempen Code Black yang dilancarkan sekumpulan doktor dan satu lagi merancang mogok, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Kabinet akan membincangkan isu jawatan tetap pegawai perubatan kontrak.

“Isu perjawatan lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Kabinet,” kata Adham dalam catatan di Facebook.

The Malaysian Insight sedang meminta pengesahan sama ada isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini. Mesyuarat Kabinet mingguan biasanya diadakan pada Rabu.

Lantikan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam sekian lama menjadi isu.

Antara Disember 2016 hingga 31 Mei 2021, seramai 23,077 pegawai perubatan kontrak UD41 dilantik menjalani latihan siswazah dan perkhidmatan wajib.

Daripada jumlah tersebut, hanya 789 diberi jawatan tetap.

Kempen Code Black dilancarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebagai tanda protes terhadap apa yang dilihatnya sebagai sistem pegawai perubatan kontrak yang tidak adil.

“Sudah hampir lima tahun sejak Disember 2016 apabila kumpulan kontrak doktor pertama mula bekerja. Wabak ini membebankan sistem dan menunjukkan betapa pentingnya doktor kontrak kita,” kata Schomos MMA.

“Banyak pertemuan diadakan, surat dihantar dan kenyataan dibuat tetapi masih belum ada jawaban yang jelas dan tegas daripada kerajaan mengenai masa depan dan kesejahteraan pekerja kesihatan kami,” tambahnya.

Kempen Code Black akan berlangsung dari 1 Julai hingga 12 Julai, yang berakhir dengan “Black Monday” pada 12 Julai.

Kumpulan tersebut meminta agar penyokong menukar gambar profil media sosial peribadi mereka, logo syarikat atau institusi kepada hitam atau monokrom bagi 12 hari pertama kempen, lawati halaman Facebook Schomos MMA untuk maklumat dan kemas kini terkini mengenai doktor kontrak, serta membantu berkongsi berita.

Pada 12 Julai, doktor diarah bekerja seperti biasa dengan memakai pakaian berwarna hitam.

Mereka juga diminta memegang plakad: “Kami Bersama Pekerja Kesihatan Kontrak” dan menyiarkan gambar di media sosial dengan hashtag #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY sahaja.

Schomos MMA berkata warna hitam dipilih sebagai simbolisme bagi mengesali bakat muda yang bekerja di negara lain dan memberi kesedaran ketidakadilan dihadapi oleh semua pekerja kontrak kesihatan di Malaysia.

The Malaysian Insight difahamkan kempen Code Black tidak menyokong mogok sebagai tindakan protes.

Sementara itu, #HartalDoktorKontrak dianjur kumpulan doktor lain yang merancang mengadakan mogok pada 26 Julai sekiranya Kementerian Kesihatan tidak menyelesaikan masalah perjawatan tetap.

Kumpulan ini juga dijangka menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan pada 1 Julai.

Topik ini juga mendapat perhatian di media sosial terutamanya di Twitter. – 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen