Langkawi adalah Dr Mahathir, dan Dr Mahathir adalah Langkawi


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Sebelum pembangunan yang dibawa Dr Mahathir, warga Langkawi hanya melakukan kerja kampung seperti nelayan dan bercucuk tanam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussan, 14 Januari, 2018.

Dr Mahathir Mohamad, pilihan Pakatan Harapan sebagai calon perdana menteri dijangka bertanding sama ada di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya. The Malaysian Insight berkunjung ke kawasan berkenaan untuk meninjau tahap sokongan terhadap bekas perdana menteri itu. Dalam bahagian kedua siri ini, kami meneliti peluang Dr Mahathir untuk memenangi kerusi Langkawi.

 

Destinasi pelancongan terkenal, Langkawi bakal menyaksikan kepulangan pemimpin yang menyerlahkan pulau legenda itu di mata dunia.

Langkawi yang dianggap sebagai permata bagi negeri Kedah ini dahulunya hanyalah salah satu gugusan pulau di antara 104 pulau di Laut Andaman.

Sebelum pembangunan yang dibawa Dr Mahathir, warga Langkawi dahulunya hanya melakukan kerja kampung seperti menjadi nelayan dan bercucuk tanam.

Legenda sumpahan Mahsuri yang kononnya menyebabkan pulau itu menjadi padang jarak padang tekukur bagaimanapun tidak menghalang Dr Mahathir Mohamad melihat potensi pulau itu sebagai destinasi pelancongan.

Ketua PKR Kedah Dr Azman Ismail berkata Dr Mahathir mempunyai hubungan istimewa dengan Langkawi sejak doktor itu menjejakkan kaki ke pulau itu pada 1955.

“Beliau doktor pertama yang dihantar untuk menyumbang khidmatnya di klinik kerajaan pulau itu.

“Dr Mahathir adalah orang pertama yang lihat betapa tandus dan kosongnya Langkawi ketika itu.

“Kerana sayangnya beliau pada Langkawi menyebabkan beliau membangunkan pulau ini apabila dilantik menjadi perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir mendapat Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Malaya pada 1953 dan seterusnya memulakan khidmat dalam kerajaan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada 1954, Dr Mahathir dilantik sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Antara pembangunan yang dilakukan Dr Mahathir ialah mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai pada 1987 dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi.

Dr Mahathir Mohamad adalah orang pertama lihat betapa tandus dan kosongnya Langkawi pada 1955 dan membawa pelbagai perubahan di pulau itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

Kompleks jeti yang menghubungkan Langkawi ke Kedah dan Perlis dibina semasa pentadbirannya,. Lapangan terbang pertama di Langkawi juga dibina pada 1988.

Dr Mahathir meneruskan wawasannya membangunkan pulau itu dengan menganjurkan International Maritime and Aerospace Exhibition (Lima) pada 1991, Le Tour De Langkawi 1996, dan Royal Langkawi International Regatta-kejohanan kapal layar pada 2003.

Pada 2017, Pulau Langkawi menerima kunjungan lebih 2.3 juta pelancong domestik dan luar negara.

Jasa lama masih dikenang

Penduduk Kampung Padang Lalang, Zainol Saad, 74, berkata atas jasa Dr Mahathir, penduduk pulau itu kini dapat berulang alik dengan menaiki feri ke Kuala Kedah sejak 1960.

“Sebelum Dr Mahathir tiba cuma ada bot kayu sekali perjalanan, naik jam 8 pagi dan lepas itu balik kemudian hari.

“Sejak Dr Mahathir datang di Langkawi pada 1980 beliau bina jeti Kuah dan bawa 15 feri. Beliau juga yang bina jalan, bangunkan Langkawi sebagai tempat pelancongan, hospital dan lampu jalan.

“Saya merupakan penyokong Umno sejak 1964 dan masih lagi ahli Umno, tapi saya tidak dapat lupakan apa yang beliau lakukan pada penduduk Langkawi.”

Zainol merupakan anak jati Langkawi yang melihat keadaan pulau itu sebelum merdeka dan semasa Dr Mahathir datang ke situ.

Dr Azman berkata Dr Mahathir juga mengenali semua penduduk lama di Langkawi dan mereka juga mengenali beliau.

“Kalau Dr Mahathir pilih Langkawi, ia paling terbaik. Sama juga Putrajaya dan Kubang Pasu kerana sejarahnya dan dekat dengan hati Dr Mahathir,” katanya.

Bendera Bersatu berkibar di Pantai Cenang, yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara di pulau legenda, Langkawi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Januari, 2018.

Dr Azman berkata bukan senang untuk menawan hati penduduk pulau Langkawi kerana mereka mempunyai cara sendiri dan mahu calon anak jati.

“Walaupun beliau tidak berasal di sini tapi beliau memahami keperluan dan budaya penduduk pulau.

“Dr Mahathir adalah Langkawi dan Langkawi adalah Dr Mahathir,” katanya.

Dr Azman berkata penduduk Langkawi juga tidak mudah terpengaruh dengan sebarang pemberian ketika pilihan raya.

“Di sini penduduk tidak akan senang menjual jiwa mereka. Ia mungkin jadi pada tempat lain tapi bukan Langkawi.”

Langkawi kubu kuat Umno

Walau Dr Mahathir mempunyai sokongan kuat oleh penduduk tempatan, namun beliau tetap berdepan dengan kesukaran kerana BN tidak pernah kalah di kerusi itu, kata pemimpin PKR.

“Untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia dan pilihan raya, Langkawi boleh jatuh kepada pembangkang.”

Dr Azman berkata Dr Mahathir berpeluang untuk menang jika bertanding menentang penyandang kerusi itu, Nawawi Ahmad.

“Nawawi merupakan ahli politik cukup baik dan ahli Parlimen yang bagus tapi Dr Mahathir dan Langkawi tidak boleh dipisahkan kerana beliau yang membangunkan kawasan tersebut.

“Orang muda juga menyokong beliau kerana berasa kerajaan sekarang salah mentadbir Malaysia dan polisi kerajaan tidak memihak kepada pemuda,” katanya.

Tetapi Dr Azman juga menjangkakan pilihan raya kali ini berdepan kesukaran, jika terdapat pertandingan tiga penjuru apabila PAS turut menghantar calon.

“Ia tidak akan mudah kalau PAS bertanding. Jika Dr Mahathir bertanding saya fikir beliau boleh berjaya melepasi pertandingan tiga penjuru.”

Pada PRU13, Nawawi yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti lebih 21,000 undi menewaskan calon PKR yang memperoleh kira-kira 9,500 undi.

PRU13 juga menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Langkawi dengan penyertaan calon bebas, Marina Hussien yang hanya meraih 180 undi.

Langkawi mempunyai lebih 37,500 pengundi yang hampir keseluruhannya Melayu iaitu 91%. Pengundi Cina dan India masing-masing hanya membentuk 6% dan 2%..

Pelancong melihat pemandangan keseluruhan pulau Langkawi dari dek kereta kabel di Gunung Mat Chinchang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Januari, 2018.

Dr Azman berkata segala apa yang ada di Langkawi adalah kerana usaha Dr Mahathir dan cetusan idea pengerusi Bersatu itu untuk membangunkan pulau terpencil menjadi hab pelancongan.

Bagaimanapun pemimpin Umno tempatan melihat Dr Mahathir tidak lagi sesuai untuk memimpin dan ahli parti itu juga tidak dapat menerima tindakan Umno menyertai pembangkang.

Ketua Pemuda Umno Langkawi Ahmad Marzuki Shariat berkata Dr Mahathir juga perlu berehat atau buat kerja kebajikan saja dan tidak kembali aktif dalam politik.

“Beliau sudah tua dan apa kita perlukan ialah orang muda berfikiran jauh yang mempunyai pandangan baru mengenai era globalisasi.

“Ia tidak sesuai jika kita mahu beliau bertanding dan menjadi wakil rakyat.

“Kami masih menghormati Dr Mahathir tapi kami tak boleh terima beliau masuk Pakatan Harapan,” katanya.

Ahmad berkata jika ada pertandingan tiga penjuru pun, BN akan menang kerana pembangkang lemah.

“Mereka cuma tin kosong yang suka buat bising.”

Sementara itu, Pengkaji Akademi Pengajian Melayu Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kemenangan hampir pasti berpihak kepada Dr Mahathir kerana beliau sinonim dengan Langkawi.

“Tanpa beliau orang luar yang bukan dari Kedah dan tidak tahu buku sejarah tidak akan ingat pulau tersebut.

“Dan kerana beliau, Langkawi menjadi destinasi terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Sumbangan beliau di Langkawi bukan hanya berdasarkan pandangan tempatan kerana populariti Langkawi menaikkan ekonomi Kedah (pelancongan) dan antarabangsa menerusi penganjuran acara seperti Lima yang diadakan setiap tahun.”

Penghijrah gemar Dr Mahathir

Pemandu teksi Shamsul MD Salleh, 40, yang berhijrah dari Kuala Kedah ke Langkawi 15 tahun lalu berkata kalau Dr Mahathir bertanding beliau akan menjadi pilihan penduduk pulau itu.

“Dr Mahathir memang orang suka dan sekarang ini pun rakyat tak suka dengan kerajaan kerana ekonomi jatuh dan jejaskan perniagaan sejak dua tahun lalu.

“Dulu di sini sampai tak cukup teksi tapi kalau hari ini saya membuat kurang dari lima perjalanan sehari.

“Kalau beliau tidak bertanding pun, pembangkang ada peluang menang kerana orang sini dalam mood menolak BN,” katanya.

Penduduk tempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ihsaan di Kampung Lubok Buaya, Langkawi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Januari, 2018.

Seorang pemilik kedai batik di Padang Mat Sirat, Aliff Solleh pula berharap Dr Mahathir tidak bertanding di Langkawi.

Aliff, 71, yang berhijrah dari Kuala Lumpur ke Langkawi 27 tahun lalu bimbang negarawan itu akan tewas kerana parti kerajaan akan menyalurkan banyak pemberian untuk memenangi hati pengundi.

“Saya harap beliau tidak bertanding sini kerana ada setengah pihak mungkin akan guna taktik bagi beras dan gula kepada penduduk pulau dan ini menyebabkan perubahan pada undi.

“Saya tak sokong mana parti tapi jika Dr Mahathir bertanding sini saya sudah tentu beri sokongan penuh,” katanya.

Seorang pengundi muda, Izzati Rahim, 23 pula berpendapat, sokongan dari warga muda ke atas Dr Mahathir antara lainnya timbul akibat protes ke atas tindakan kerajaan BN di situ.

“Ramai anak muda yang sokong beliau kerana ramai tak suka BN.

“Dr Mahathir susah payah bina Langkawi tapi ada (kerajaan negeri) yang bina kondominium di tempat bersejarah di Taman Lagenda.

“Kami membantah tindakan itu.” – 14 Januari 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Betui tu!!!!!, orang langkawi memang sokong Mahatir

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Raffai bardin · Ulasan