Tak semua akan sokong saya jadi PM, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Muzliza Mustafa

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pemberita selepas forum Bicara Wawasan 2020 yang diadakan di Cyberjaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Januari, 2018.

DR Mahathir Mohamad mengakui tidak semua pihak akan bersetuju dengan resolusi Pakatan Harapan (PH) untuk mencalonkan beliau sebagai perdana menteri.

Pengerusi PH itu bagaimanapun berkata, setiap individu berhak meluahkan pendapat peribadi mereka berhubung pencalonan itu.

“Saya rasa setiap orang berhak keluarkan pendapat peribadi mereka. Saya tidak menjangkakan semua akan sokong dan percaya dengan saya,” katanya kepada pemberita selepas forum Bicara Wawasan 2020 di Cyberjaya, hari ini.

Bantahan itu antara lainnya disuarakan oleh peguam terkemuka Sangeet Kaur Deo, yang juga anak kepada veteran DAP.

Menurut Sangeet tindakan itu hanya akan mengembalikan “Mahathirisme” dalam pentadbiran negara dan membuktikan pembangkang ketandusan calon dan strategi.

“Dia (Dr Mahathir) akan menjadi perdana menteri sekali lagi dan memperkenalkan semula kelahiran Mahathirisme.

“Walaupun ia mungkin satu tindakan terdesak seperti gabungan kita dengan PAS satu ketika dahulu, adakah kita terbuka untuk bekerja dengan Perdana Menteri Najib Razak satu hari nanti sekiranya keadaan terdesak,” katanya.

Turut membantah pencalonan itu adalah Ketua Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad, yang disokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Azmin semalam berkata, bantahan terhadap cadangan itu adalah suara akar umbi dan harus diraikan mengikut semangat reformasi.

Azmin bagaimanapun berpandangan bahawa Dr Mahathir adalah calon terbaik yang boleh ditawarkan PH untuk jawatan perdana menteri. – 13 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen