Tidak payah lama semak ‘kehilangan’ fatwa Amanat Haji Hadi, kata Pejuang


Amanat Haji Hadi adalah petikan ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awabf yang dibuat pada April 1981 pada satu ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

PIHAK berkuasa agama tidak perlu terlalu lama untuk menyemak “kehilangan” fatwa berkaitan amanat Presiden PAS Abdul Hadi Awang daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata pemimpin muda Pejuang.

Yang lebih perlu lama diteliti ialah kenapa fatwa, yang dikeluarkan sejak 1980-an dan dipertegaskan semula pada awal 2000-an, itu ditiadakan, kata ketua penaja Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin.

“Pihak unit komunikasi korporat (UKK) Jakim tidak perlu untuk mengambil masa lama untuk sahkan ia ditiadakan.

“Kenapa ia ditiadakan, itu mungkin perlukan ‘penelitian’ panjang, mendalam dan ‘politically careful’ mungkin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Penolong Pengarah UKK Jakim Zakaria Othman dipetik media berkata pihaknya akan menyemak dakwaan fatwa mengenai Amanat Haji Hadi sudah “hilang” daripada laman web jabatan itu, seperti didakwa oleh seorang pengguna Twitter.

Maklumat mengenai fatwa itu juga gagal dikesan semasa carian di laman webnya semalam.

Amanat Haji Hadi adalah petikan ucapan Hadi yang dibuat pada April 1981 pada satu ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Petikan ceramah itu kemudiannya disebar penyokong PAS sebagai “Amanat Haji Hadi” dan kemudian menjadi asas konflik identiti Islam antara ahli PAS dan Umno.

Konflik itu berterusan selama berpuluh tahun sehinggalah dua parti Melayu itu memeterai kerjasama politik pada September 2019, selepas Barisan Nasional yang ditunjangi Umno kalah Pilihan Raya Umum ke-14.

Semasa PAS berbaik semula dengan Umno, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi pengasas Pejuang antara yang lantang menuduh parti Islam itu hipokrit dan hanya bermain politik.

Dr Mahathir pada masa itu mengingatkan PAS tidak pernah menarik balik Amanat Haji Hadi.

“Sudahkah PAS Islamkan Umno?” tanya Dr Mahathir dalam satu tulisan di blognya pada Mac 2019.

Menurut Abu Hafiz, isu Amanat Haji Hadi harus dinilai semula menerusi pelbagai aspek termasuk politik, konsistensi fatwa, perundangan dan sebagainya, tetapi bukan dengan “memadamnya” daripada rekod.

“Pihak yang merasa ‘dimangsakan’ hasil fatwa tersebut punyai hak untuk buat semakan semula.

“Namun, kalau dengan cara memadam carian rasmi adalah sangat tidak profesional atau ‘bacul’,” katanya.

Abu Hafiz mencadangkan Amanat Haji Hadi patut dibahas sekarang, ketika pemimpin PAS kini sudah jadi kerajaan.

Awal hari ini, dua bekas ahli muda PAS meminta pihak berkuasa agama telus dan memberi penjelasan mengenai kedudukan fatwa berkaitan amanat Hadi yang semalam dilaporkan “hilang” daripada laman web Jakim.

Mereka berkata Jakim perlu menyiasat “kehilangan” itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memadamkannya, jika ia dibuat tanpa kelulusan majlis fatwa kebangsaan. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen