Ujian saringan Covid-19 turun 10.9%, kadar positif naik 0.3% minggu lalu


Ragananthini Vethasalam

Negeri Sembilan melaporkan kadar positif tertinggi sebanyak 11.41%, dengan 38,406 sampel diambil dan 4,383 positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

JUMLAH ujian saringan Covid-19 yang dijalankan minggu lalu merosot 10.9% kepada 561,156 berbanding minggu sebelumnya sementara kadar positif meningkat sebanyak 0.3%, menurut laporan epidemiologi mingguan Kementerian Kesihatan.

Kadar positif antara 13 Jun dan 19 Jun adalah 6.93% dengan 38,911 kes positif dilaporkan. Purata 80,165 ujian saringan dilakukan setiap hari pada minggu tersebut.

Pakar perunding paedetrik Amar Singh HSS berkata ujian saringan masih belum mencukupi.

“Kadar positif di banyak negeri melebihi cadangan WHO. Ujian tidak mencukupi. (Data Sarawak menunjukkan masalah kerana kes positif lebih lebih tinggi berbanding laporan mereka),” tulisnya di Twitter.

Data Kementerian Kesihatan termasuk sampel ujian yang diambil oleh kemudahan kerajaan dan penyedia penjagaan kesihatan swasta.

Jumlah sampel ujian tertinggi dilakukan di Johor dengan 52,715 yang mendapati 3,090 kes positif dilaporkan. Kadar positif adalah 5.86%.

Perlis memperoleh bilangan sampel paling sedikit dengan hanya 826 dan 17 kes positif. Kadar positif adalah 2.06%.

Negeri Sembilan melaporkan kadar positif tertinggi sebanyak 11.41%, dengan 38,406 sampel diambil dan 4,383 positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelumnya berkata Malaysia mencapai penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi ujian yang mencukupi.

Menurut penanda aras, sepatutnya ada sekurang-kurangnya 10 ujian negatif bagi setiap keputusan yang positif.

Beliau menambah yang penanda aras juga menentukan bahawa petunjuk terbaik kadar ujian yang mencukupi adalah 30 ujian negatif bagi satu ujian positif. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen