Kes sporadik membimbangkan, kata KP Kesihatan


Kajian menunjukkan kawalan PKP penuh tidak berjaya menurunkan kes sporadik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

TREND peningkatan kes sporadik yang lebih tinggi berbanding jangkitan dari kluster amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya kajian yang dijalankan menunjukkan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh juga tidak berjaya menurunkan kes sporadik.

“Dapat dilihat dengan jelas pertambahan kes sporadik dan taburannya yang makin meluas dan ketara apabila dibandingkan dengan pemetaan sebelumnya,” katanya.

Jelasnya, PKP penuh yang diumumkan pada 12 Mei didapati hanya berjaya mengawal peningkatan kes kluster dalam minggu-minggu selepas itu.

“... Namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

“... Kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) dengan betul.”

Kes yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kluster itu dilihat tertumpu di Lembah Kelang dan juga di negeri Sarawak, katanya.

Sebanyak 69% daripada lebih 578,000 kes Covid-19 yang dikesan dalam tempoh sejak awal tahun terdiri daripada kes sporadik dan paling tinggi di Selangor dengan 38%, katanya.

Tambahnya, Kuala Lumpur pula mencatat 11.2% kes dan Sarawak dengan 10.3%,.

Kes sporadik paling tinggi Lembah Klang itu tertumpu di Petaling dengan 3,905 kes, Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482) untuk tempoh antara 13 hingga 19 Jun, katanya.

Sebanyak 4,611 kes baharu dikesan hari ini, paling rendah sejak PKP dikuatkuasa semula seluruh negara dan Selangor masih merekodkan jumlah kes paling tinggi.

Jumlah kes aktif juga turun dengan peningkatan jumlah pesakit pulih sejak 15 hari lalu.

Kerajaan mengumumkan akan menilai semula SOP bagi PKP penuh yang berkuatkuasa sejak 1 Jun sekiranya jumlah jangkitan harian Covid-19 turun bawah 4,000.– 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen