Umur 12 tahun ke atas boleh daftar vaksin Covid-19 melalui MySejahtera  


Ragananthini Vethasalam

Mereka yang berumur 12 tahun ke atas dan pengguna yang memiliki ID MySejahtera, kini boleh mendaftar untuk vaksinasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

MEREKA yang berusia 12 tahun ke atas kini boleh mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera.

Semakan di aplikasi berkenaan menunjukkan mereka yang memiliki ID MySejahtera, kini boleh mendaftar untuk vaksinasi.

Proses pendaftarannya sama seperti pendaftaran dewasa yang berusia 18 tahun ke atas. Butiran MyKad mereka perlu dimasukkan di bawah pilihan vaksinasi Covid-19.

Ibu bapa dan penjaga juga boleh mendaftarkan anak-anak mereka dengan klik pada pilihan “Add Vaccine Dependent” di bawah kategori “Vaccination”.

Pada 15 Jun lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Seorang pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengesahkan mengenai pendaftaran itu kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-​19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata proses vaksinasi untuk remaja akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (​JKJAV) dalam mesyuaratnya minggu ini.

Khairy berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba akan memutuskan bagaimana vaksin Pfizer-BioNTech harus diberikan kepada remaja berdasarkan nasihat pakar.

“Butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Ujian klinikal menunjukkan vaksin Pfizer-BioNTech selamat untuk digunakan oleh mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun.

Pakar kesihatan sebelum ini menggesa agar kerajaan mempertimbangkan untuk memvaksin kanak-kanak dalam kumpulan itu selepas lebih 80,000 kanak-kanak dilaporkan positif Covid-19. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen