Boleh tukar alamat jika dapat PPV jauh dari tempat tinggal


ADUAN mengenai janji temu vaksinasi Covid-19 di pusat yang terlalu jauh dari tempat tinggal kini boleh diselesaikan dengan mengubah alamat di aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata ia tidak termasuk kepada mereka yang mendaftar dan menerima janji temu di bawah program sukarela AstraZeneca.

“Anda boleh menukar alamat walaupun janji temu telah dijadualkan.

“Perubahan ini tidak akan mengubah kedudukan anda dalam senarai pendaftaran,” kata JKJAV di Twitter.

Ia menyiarkan infografik mengenai “perubahan alamat selepas mendapat janji temu” yang menunjukkan langkah untuk membuat pertukaran alamat.

Perubahan mesti dibuat di bawah item “janji temu dos pertama” di halaman vaksinasi MySejahtera.

Mereka yang menerima dan mengesahkan janji temu boleh membatalkannya dan memilih “Kemudahan kesihatan yang diberi terlalu jauh” sebagai alasan pembatalan.

Mereka kemudian perlu memasukkan dan menyerahkan maklumat negeri dan poskod baharu.

“Maklumat janji temu baharu akan dihantar dalam masa 30 hari,” kata status itu.

Terdapat aduan di media sosial mengenai orang ramai yang diberi janji temu di pusat vaksinasi (PPV) yang jauh dari tempat tinggal, bahkan ada yang berkata mereka diberi janji temu di negeri lain. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen