Kes hina Sultan Johor, polis sedang lengkapkan siasatan


Ibu seorang selebriti popular didakwa mengkritik Sultan Johor menerusi akaun Instagram miliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

POLIS Selangor kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ibu seorang selebriti popular yang dikatakan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya baru sahaja menerima laporan teknikal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kes itu.

“Kita baru terima laporan daripada MCMC, jadi kita akan lengkapkan siasatan dan (akan) dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kesemua tujuh saksi berhubung kes itu sudah selesai diambil keterangan.

Siasatan dijalankan selepas ibu selebriti itu, yang berumur 54 tahun, membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 5.44 petang, 30 Mei lepas.

Kes itu juga sebelum ini disiasat oleh polis Kuala Lumpur namun kemudian diserahkan kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di Selangor. – Bernama, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen