Lebih 5,000 janji temu diberikan kepada pelajar ke luar negara, kata KJ


Ragananthini Vethasalam

5,621 janji temu telah diluluskan setakat ini, kata Menteri penyelaras PICK itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

JAWATANKUASA Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) telah meluluskan lebih 5,000 janji temu vaksinasi kepada pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, 5,621 janji temu telah diluluskan setakat ini.

“Saya yakin permohonan yang selebihnya akan diproses dan janji temu akan diberikan tidak lama lagi,” katanya kepada sidang media mingguan PICK bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Pelajar yang belum menerima janji temu mereka boleh mengirim e-mel ke [email protected] untuk permohonan mereka diluluskan.

Khairy juga berkata 98,166 ibu hamil telah memohon untuk vaksinasi.

Katanya tarikh janji temu akan diberikan berdasarkan tarikh mereka dijangka bersalin.

Sejumlah 3,000 janji temu dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur minggu lalu manakala 244 lagi di Perlis.

Beliau berkata baki janji temu sedang diproses dan keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh jangkaan bersalin. – 21 Jun, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen