Parti lain akan harapkan PAS untuk tubuh kerajaan, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyuarakan keyakinan itu bagi membalas cemuhan dari Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang berkata parti Islam itu tidak lagi dipedulikan oleh sesiapa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2018.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menangkis kritikan bahawa parti itu sudah kehilangan pengaruh dan tidak lagi dipedulikan selepas memutuskan kerjasama dengan DAP dan PKR.

Katanya, parti Islam itu malah akan menjadi tempat bergantung bagi parti yang mahu membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, PAS akan dapat meraih sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), katanya.

“Jika PAS ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat kebergantungan siapa yang nak tubuh kerajaan, dengan 40 kerusi ini kita (PAS) ada pengaruh dan boleh minta macam-macam

“Jika PAS boleh mendapat 40 kerusi parlimen, parti lain yang tidak boleh nak tubuh melainkan akan bergantung kepada 40 kerusi ini.

“Walaupun parti lain ada 100 kerusi, 80 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan kena ada minima 112 kerusi,” katanya, seperti dipetik laporan Harakahdaily, hari ini.

Beliau menyuarakan keyakinan itu bagi membalas cemuhan dari Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang berkata parti Islam itu tidak lagi dipedulikan oleh sesiapa.

PAS gagal menyertai rundingan agihan kerusi dengan PH dan akan bertanding sendirian di lebih 130 kerusi.

Menurut Dr Mahathir pada awal bulan ini dilaporkan berkata, PAS sedar bahawa parti itu tiada kekuatan untuk bertanding di kesemua kerusi tersebut tetapi sengaja berbuat demikian kerana ingin membantu BN.

Abdul Hadi pada Mei tahun lalu menyuarakan keyakinan PAS untuk memenangi 40 kerusi Parlimen, berdasarkan maklum balas daripada jentera pimpinan seluruh negeri.

Abdul Hadi berkata, keyakinannya semakin kuat apabila kajian menunjukkan jumlah ahli parti Islam itu bertambah sekali gus akan meningkatkan sokongan daripada orang ramai.

“Kita lebih maju ke depan kerana ahli kita makin bertambah dan sokongan juga bertambah, itu yang penting,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bilangam keahlian PAS kini mencecah sehingga  897,000 ahli.

PAS kini bergerak atas landasan Gagasan Sejahtera, bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang ditubuhkan untuk menjadi blok politik ketiga negara. 

Blok itu terhasil selepas PAS memutuskan ikatan politik dengan DAP dan PKR, yang seterusnya merombak Pakatan Rakyat pada 2015.

DAP dan PKR kini bergerak dalam Pakatan Harapan bersama parti serpihan PAS, Amanah serta Bersatu. – 13 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pembangkang masing2 macam yakin untuk menang besar dalam PRU14, jangan terlampau berharap kerana rakyat dah pandai menilai tak macam dulu, diorang dah tak buta it macam zaman Tun dah tahu nak nilai yang mana berpotensi untuk majukan malaysia

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan