Takiyuddin derhaka, kata Lim Guan Eng


Lim Guang Eng berpendapat Takiyuddin Hassan tunjuk sikap tidak bertanggungjawab dan tidak jujur apabila memutar belit titah Parlimen bersidang 'secepat mungkin' oleh Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

TAKIYUDDIN Hassan tidak hormat undang-undang malah derhaka kepada raja kerana bersikap tidak acuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya Parlimen bersidang “secepat mungkin”, kata Lim Guan Eng.

Menteri undang-undang sepatutnya dipecat,  kata setiausaha agung DAP.

“Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan secara terbuka derhaka terhadap Raja dan hasrat rakyat agar Parlimen diadakan ‘secepat mungkin’ seperti yang dititahkan oleh Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berpendapat Takiyuddin hanya menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak jujur apabila memutar belit titah “secepat mungkin” oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Apa yang begitu sukar difahami mengenai titah diraja bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin?,” tanya Lim.

Lim berkata setiausaha agung PAS itu wajar meminta maaf dan menukar pendiriannya secara terbuka, atau beliau akan mengheret Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama terbelit dengan kesilapannya ini.

“Kecuali Takiyuddin membuat putaran U dan menunjukkan kekesalan terhadap kesalahan ini, dengan kesediaannya untuk mendesak Perdana Menteri agar mematuhi titah Diraja ‘secepat mungkin’, perdana menteri akan terlibat sama dalam penderhakaan Takiyuddin terhadap Perlembagaan Persekutuan  dan kehendak rakyat serta Majlis Raja-Raja,” katanya.

Lim mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa titah Yang di-Pertuan Agong semalam tidak menyebut tarikh atau tempoh tertentu bila Parlimen harus dibuka semula.

Sebaliknya, Parlimen memang sudah dekat hendak dibuka, katanya, merujuk kenyataan Muhyiddin yang membayangkan Parlimen bersidang pada September apabila pelan pemulihan negara memasuki fasa ketiga.

“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan perlu diadakan (sidang Parlimen) pada bulan berapa tapi secepat mungkin, Perdana menteri juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.

“Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” katanya, dalam wawancara anjuran lidah rasmi PAS Harakah malam tadi.

Takiyuddin merujuk pengumuman Muhyiddin mengenai pelan pemulihan negara pada Selasa.

Fasa ketiga pelan pemulihan yang dijangka dapat dicapai pada hujung Ogos menetapkan kes jangkitan Covid-19 diturunkan sehingga bawah 2,000 sehari, sementara 40% penduduk sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa. 

Menurut Lim, Putrajaya tidak perlu menunggu tiga empat bulan lagi untuk mengadakan sidang Parlimen kerana tiga kriteria fasa ketiga itu sudah dicapai oleh Ahli Parlimen.

“Tidak ada kes Covid-19 harian baru dalam kalangan Ahli Parlimen, tidak ada seorang Ahli Parlimen pun menerima rawatan di ICU dan semua Ahli Parlimen telah diberi vaksin,” katanya.

Beliau menambah, Takiyuddin dan kerajaan tiada alasan logik berdasarkan sains dan data untuk menghalang Parlimen daripada bersidang semula secepat mungkin.

Lim dalam pada itu turut menggesa Takiyuddin melaksanakan titah Raja-Raja Melayu yang sependapat darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang berkata Takiyuddin bersikap “keras kepala atau menjadi batu penghalang” apabila tidak memberi kerjasama untuk Parlimen dibuka segera.

“Ini adalah hasrat jelas yang datang daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan berasingan. – 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen