Sampai bila menteri pendidikan nak membisu, tanya Pakatan


Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin diharap tidak terus membisu terhadap beberapa isu mustahak mengenai masa depan pendidikan yang berbangkit ekoran penularan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

MENTERI Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin tidak boleh terus membisu terhadap beberapa isu mustahak mengenai masa depan pendidikan yang berbangkit ekoran penularan pandemik Covid-19, kata Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa Pendidikan PH berkata Kementerian Pendidikan mesti mengemukakan segera pelan pendidikan untuk jangkamasa panjang selepas pandemik berakhir.

“Sehingga kini, banyak isu yang ditimbulkan kepada KPM, tetapi tidak pernah mendapat respons dan jawapan.

“Malah, menteri kanan dan kedua-dua timbalannya seakan-akan mengetepikan suara rakyat, suara para guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat amnya,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Mereka mengingatkan ada banyak isu pendidikan yang belum selesai, yang berbangkit semasa pandemik dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Jawatankuasa itu sekali lagi mendesak Kementerian Pendidikan supaya berkongsi data murid cicir, iaitu yang belum boleh membaca dan menulis, kerana kehilangan hari lebih 100 hari persekolahan pada tahun lepas.

“Kementerian perlu menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan juga memulihkan murid-murid cicir ini,” kata jawatankuasa.

Mereka juga mahu kementerian berkongsi data keberkesanan PdPR yang menunjukkan peratusan murid yang mengikutinya serta kehadiran murid ke sekolah semasa ia dibuka sementara sebelum ini.

“Kerajaan tidak boleh lagi berlagak dengan sikap kerajaan lebih mengetahui yang terbaik lagi. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak nusa,” kata mereka.

Mereka berharap Kementerian Pendidikan menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua pihak untuk sama-sama membangunkan pendidikan negara selepas pandemik.

Jawatankuasa pendidikan PH dianggotai tujuh ahli parlimen pembangkang diketuai bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen