Umno mahu Parlimen bersidang semula, kata Zahid


Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tiba di Istana Negara pada sekitar jam 9.50 pagi untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Jun, 2021.

UMNO menyatakan pendirian kepada Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen perlu bersidang semula, kata presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberitahu pemberita, isu mengenai pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) juga tidak dibincangkan sewaktu menghadap baginda pada pagi ini.

“Umno berpendirian Parlimen wajar bersidang.

“Ini bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan dengan pentadbiran negara,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilaporkan tiba di Istana Negara pada sekitar jam 9.50 pagi untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda seterusnya dijangka akan menerima menghadap Presiden MIC S Vigneswaran dan Presiden PBS Maximus Ongkili pada hari ini.

Tuntutan agar Parlimen bersidang semula turut disuarakan Pakatan Harapan yang menolak cadangan pembentukan Mageran.

Gabungan parti itu menolak cadangan yang dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sewaktu menghadap baginda semalam.

Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu menghadap baginda, diikuti para pemimpin Pakatan Harapan.

Seterusnya semalam, baginda menerima menghadap Dr Mahathir, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden Wairsan Mohd Shafie Apdal. – 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen