Antara bodoh dan bodoh-bodoh sikit


SEHARI dua ini tular kritikan dan kecaman ke atas pakar mata dan motivasi tersohor Profesor Dr Muhaya Mohamad atas kenyataan beliau yang dikatakan menganjurkan wanita yang belum berkahwin untuk bersikap ‘bodoh-bodoh sikit’ untuk memudahkan mendapat suami atau jodoh.

Komentar dan kritikal terhadap kenyataan beliau tersebut menerima pelbagai reaksi dan jawapan balas.

Ada yang menegaskan bahawa mereka yang mengkritik Prof Muhaya sebenarnya tidak betul-betul faham maksud ‘bodoh-bodoh sikit’ yang sebenarnya mempunyai makna yang jauh berbeza dengan ‘bodoh’

Saya faham ayat tersebut. Betul. Maksudnya bukan jadi bodoh (stupid) dari segi intelektual. Sekadar mengambil pendekatan mengalah, merendah diri atau berpura-pura lemah. Saya faham itu.

Tentangan saya bukan pada perkara itu (sikap perempuan yang manja-manja, ‘bodoh-bodoh alang’, lemah gemalai, melentok-lentok, pretend dumb, blur and clingy etc) per se.

Tetapi, pada keseluruhan mentaliti utama yang mendasari pandangan tersebut.

Apakah mentaliti dasar yang ditentang itu? Antara:

Pertama, kesempurnaan atau pencapaian hidup yang sering disandarkan pada perkahwinan. Lambat dapat jodoh dan berkahwin itu buruk.

Sehingga jodoh menjadi kriteria yang sentiasa dihakimi. Sehingga perempuan sentiasa dinasihatkan dengan cara-cara mendapat jodoh. Termasuklah menjadi ‘bodoh-bodoh sikit’ untuk lelaki.

Kedua, perempuan mesti ubah atau kawal pencapaian dan perwatakan mereka agar selari dengan jangkaan, kemahuan dan selera lelaki, baru mudah dapat jodoh.

Ketiga, menyalahtafsirkan maksud ‘damsel in distress’ dan membenarkan ‘ego’ menjadi ciri biasa seorang lelaki.

Apa yang salahnya dengan mentaliti seperti ini? Bukankah perkara biasa sahaja semua itu?

Nampak biasa, tapi banyak masalahnya. 

Antara kesan buruk mentaliti ini adalah:

pertama, kita jadi terbawa-bawa dengan pemahaman dan tekanan masyarakat dan bukan mentaati ajaran agama. Ingat, tradisi silam bukan tradisi Islam. 

kedua, kita akan cenderung memilih jalan keluar mudah. Misalnya, isu jodoh. Kenapa tidak dikongsikan atau dinasihatkan bahawa lambat dapat jodoh itu bukan satu keburukan pun? 

Ajarlah masyarakat untuk tidak perlu terlalu runsing. Semua itu ketentuan/rezeki. 

ketiga, menanam pemikiran bahawa perempuan perlu mengubah diri mereka untuk lelaki.

keempat, merendahkan kedudukan dan nilai seorang lelaki. Seolah-olah lelaki ini hanya pandang wanita pada lentuk liuk dan lemah gemalai mereka sahaja. 

kelima, mengundang persepsi negatif kepada kedudukan seorang penceramah itu sendiri. Kebijaksanaan, pengalaman dan ilmu yang besar akhirnya disalurkan pada konteks dan perkaitan hormon dan takdir jodoh seseorang.

Antara mereka yang menyokong Prof Muhaya berhujah: 

Janganlah triggered. Ambil yang baik.”

“Jangan perasaan bagus sangat. Tak semua yang kita amalkan dan tahu itu betul. Ada benda kadang-kadang kita kena ubah/suai. Tak semua benda kita mesti buat dan pertahan ikut kemahuan dan pandangan kita saja”

“Biasalah. Hidup, mesti ada kompromi. Tak salah pun ubah diri untuk orang lain

Betul. Tapi berbalik kepada persoalan mentaliti tadi. Kita mesti ubah diri jadi lebih baik, lebih berjaya, lebih dekat dengan Tuhan. Bukan untuk lebih dekat dengan lelaki dan perempuan yang menjadi sasaran kita. Salah mentaliti seperti itu.

Banyak sekali perkara yang perempuan dan lelaki lakukan demi memikat dan mengikat hati dan selera pasangan. Sedangkan semua itu memenjarakan potensi diri sendiri, malah menyeksa mereka.

Bayangkan kalau dalam soal jodoh, ini yang Prof Muhaya anjurkan:

Wahai perempuan yang belum berjodoh. Jangan risau. Tingkatkan potensi diri, kejar sebanyak mungkin kejayaan. Lelaki suka pada perempuan yang ada pencapaian. Tak perlu bodoh-bodoh sikit demi lelaki

Atau:

Wahai lelaki, ajar diri jadi imam yang baik. Cari wanita berilmu dan tegas sebagai pasangan untuk bina keluarga. Jangan terancam dengan pencapaian besar wanita. Jangan semudah nampak wanita lemah lembut dan bodoh-bodoh sikit, terus sebat jadi isteri’ 

Akhir sekali:

Standard dan kedudukan seorang perempuan bukanlah seorang perempuan lain apatah seorang lelaki, dan begitu juga sebaliknya.

Tetapi kedudukan dan standard seorang perempuan (dan lelaki) itu adalah pada kualiti hubungannya dengan Tuhan.

* Mohd Daud Mat Din ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen