Kedudukan Samsuri kini genting, kata orang PAS


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan pihak istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

PAS dijangka hanya dapat mentadbir Terengganu satu penggal ekoran pergolakan dalaman dan isu membelit menteri besar termasuk hubungan dingin dengan istana, kata sumber parti dan penganalisis.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, isu melibatkan Ahmad Samsuri Mokhtar kini genting sehingga istana hampir menarik balik gelaran Datuk Seri disandang menteri besar itu.

Hinggakan, Timbalan Menteri Sains Teknologi Inovasi Ahmad Amzad Hashim terpaksa diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Samsuri dan pihak istana, kata sumber.

Seorang sumber pemimpin PAS Terengganu yang enggan namanya disebut itu berkata, selain itu menteri besar juga dilihat kurang menumpukan isu negeri berkenaan.

“Dinginnya hubungan Ahmad Samsuri dengan pihak istana atas beberapa isu kerana menteri besar itu dilihat tidak pandai menjaga hubungan dengan pihak istana.

“Biarpun keadaan sekarang (PAS) masih boleh bertahan namun pihak istana kini melihat PAS menghadapi masalah memerintah Terengganu terutama menteri besar kini lebih banyak menumpukan hal di kerajaan pusat,” katanya.

Sumber mendakwa, ia berikutan Ahmad Samsuri kini sedang mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen bagi menyertai kabinet kerajaan Perikatan Nasional akan datang.

Meunurut sumber, biarpun keadaan sekarang (PAS) masih boleh bertahan namun pihak istana kini melihat PAS menghadapi masalah memerintah Terengganu terutama menteri besar kini lebih banyak menumpukan hal di kerajaan pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.

PAS Terengganu berpecah tiga kem

Seorang lagi sumber dalam PAS yang juga tidak mahu dinamakan turut mengesahkan agenda menteri besar itu yang mahu beralih ke Putrajaya.

Dedah sumber itu, kumpulan menteri besar sedang membuat percaturan untuk menentukan kerusi Parlimen sesuai untuk ditandingi Ahmad Samsuri.

Antara yang dipertimbangkan kerusi Kuala Terengganu yang dimenangi Ahmad Amzad Mohamed dalam pilihan raya 2018, kata sumber PAS itu.

“Kemungkinan Amzad akan memberi laluan kerusi Parlimennya di Kuala Terengganu kepada Ahmad Samsuri,” katanya.

Jelas sumber, penghijrahan itu juga dirancang kerana Ahmad Samsuri tiada kekuatan di peringkat akar umbi dan lebih dilihat sebagai pemimpin atasan PAS.

“Ahmad Samsuri biarpun menjadi menteri besar namun sebenarnya beliau tidak mempunyai sokongan akar umbi.

“Watak Ahmad Samsuri itu sendiri dilihat sebagai pemimpin atasan kerana latar belakangnya menjadi setiausaha politik kepada tuan guru, beliau bukan pemimpin dari akar umbi,” katanya.

Oleh sebab itu, Ahmad Samsuri hanya dilihat mendapat kekuatan dari pengaruh presiden PAS dan bekas menteri besar Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu beliau kurang sokongan akar umbi, hanya mengharapkan sokongan dari tuan guru semata-mata yang begitu memberi kepercayaan penuh.

“Ini dapat dilihat apabila tuan guru memberi kerusi Rhu Rendang ( kerusi selamat PAS kepada Ahmad Samsuri,” katanya.

Jelas sumber, keputusan Hadi meletakkan Ahmad Samsuri di kerusi Rhu Rendang dan menjadi calon menteri besar menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin tempatan.

“Namun disebabkan yang membuat keputusan itu adalah tuan guru tidak ada siapa yang berani membantah,” katanya.

Kata sumber itu lagi, rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan tempatan berlanjutan terutama apabila Ahmad Samsuri dilihat banyak membuat keputusan membelakangkan mereka.

Pemimpin tempatan ini antara lainnya marah apabila Ahmad Samsuri lebih mengutamakan orang luar dalam lantikan politik melibatkan agensi negeri Terengganu.

Perkara itulah yang membawa kepada krisis dalam PAS Terengganu dan menyebabkan gerakan tersebut berpecah tiga.

“Memang berlakunya krisis dalaman PAS Terengganu.

“Ada tiga kumpulan dalam PAS negeri iaitu kem menteri besar, kem pemimpin kanan PAS negeri Satiful Bahri Mamat dan Khairuddin Aman Razali,” katanya.

Keputusan Presiden PAS Abdul Hadi meletakkan Ahmad Samsuri di kerusi Rhu Rendang dan menjadi calon menteri besar menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.

Ujar sumber itu, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Satiful antara nama yang disebut untuk mengisi calon menteri besar semasa PRU14.

“Namun itu tidak berlaku kerana tuan guru telah meletakkan Ahmad Samsuri calon menteri besar,” katanya.

Khairuddin juga dilihat  bercita-cita tinggi dan mahu menjadi menteri besar dan juga memegang jawatan nombor satu parti itu.

“Ini boleh dilihat di mana pelantikan Khairuddin sebagai menteri bukan melalui parti tapi dan tiba- tiba namanya diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengejutkan orang ramai.

“Sebab itu beliau dilihat sebagai pemimpin sangat bercita-cita tinggi, dan dalam konteks politik Terengganu beliau diberi empat jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri,” katanya.

Beliau melihat persaingan di antara Khairuddn dan Ahmad Samsuri boleh diumpamakan seperti pertembungan di antara dua bekas menteri besar Umno, Ahmad Said dan Razif Abdul Rahman.

“Senario Khairuddin dengan Ahmad Samsuri boleh dikatakan hampir sama seperti pemimpin Umno Ahmad Said dan Razif Abdul Rahman. Samsuri dengan Khairuddin dahulunya dilihat sehaluan.

“Namun keadaan itu berubah disebabkan pertembungan dua kumpulan iaitu Ahmad Samsuri kumpulan geng profesional yang pro-Perikatan Nasional dan Khairuddin geng ustaz pro-Muafakat Nasional,katanya.

Khairuddin yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama PAS dilanda beberapa kontroversi antaranya  didakwa melanggar standard (SOP) kuarantin pada Ogos lepas.

Ia menimbulkan kemarahan umum kerana melihat berlaku layanan berat sebelah kerana menteri itu hanya didenda RM1,000 atas kesalahan tersebut

Pada Mei beliau sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila didakwa ditahan di sekatan jalan raya di Perasing bersama seorang wanita pada 16 Mei lepas.

Khairuddin menafikan dakwaan itu biarpun polis Terengganu mengesahkan menteri itu ada melalui sekatan berkenaan.

persaingan di antara Khairuddn dan Ahmad Samsuri boleh diumpamakan seperti pertembungan di antara dua bekas menteri besar Umno, Ahmad Said dan Razif Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.

Menteri itu juga kini berdepan dengan skandal jualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang didakwa dipajak kepada satu yayasan PAS dengan harga jauh lebih rendah dari pasaran.

Penganalisis politik Mohd Hisomuddin Bakar pula ketika diminta mengulas tidak menolak ramalan bahawa krisis tersebut akan menyebabkan PAS hanya mampu bertahan sepenggal saja kali ini.

Beliau berkata krisis atau kontroversi yang  melanda parti Islam mungkin tidak akan menjejaskan jentera pilihan raya PAS namun menjangka penolakan datang dari ahli biasa

Beliau berkata, krisis kepemimpinan menteri besar dan hubungan dingin dengan pihak istana akan menyebabkan sabotaj dari ahli biasa PAS.

“Hukuman boleh datang dari ahli PAS biasa jika mereka tak puas hati dengan prestasi dan penyelewengan yang mereka percaya isu itu benar berlaku.” – 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen