Kedai tidak perlu tutup bahagian barangan bukan keperluan, kata MKN


Beberapa kedai dan farmasi bertindak menutup bahagian jualan barangan bukan keperluan di premis masing-masing kerana bimbang didenda sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.

SEMUA barangan dalam kedai boleh dijual kepada pelanggan, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah MKN Mohd Rabin Basir berkata tidak menjadi kesalahan jika kedai menjual barangan yang sedia ada dalam premis perniagaan.

“Kita membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka untuk menjual semua barangan dalam premis. Tidak menjadi masalah,” katanya kepada Sin Chew Daily hari ini.

Beliau berkata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob akan menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut hari ini.

Beliau berkata kedai yang didenda kerana tidak menutup bahagian barangan bukan keperluan akan diteliti semula mengikut kes.

Beberapa kedai dan farmasi bertindak menutup bahagian jualan barangan bukan keperluan di premis masing-masing kerana bimbang didenda sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Mereka bertindak sedemikian selepas polis menyerbu sebuah kedai di Bangsar yang menjual alkohol susulan peraturan MKN yang menutup operasi kilang arak kerana alkohol tidak dianggap barangan keperluan.
 
Malah Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Domestik berkata kedai tidak dibenarkan menjual barangan bukan keperluan mengikut prosedur operasi yang ditetapkan. – 7 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen