Pilihan raya Sarawak tangguh di bawah Ordinan Darurat, kata SPR


SPR hari ini telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung tamat tempoh DUN yang ke-18. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

PILIHAN raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadual diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun hari ini merupakan hari terakhir penggal DUN itu, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata ini susulan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan lepas dan di bawah peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR hari ini telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung tamat tempoh DUN yang ke-18.

Bagaimanapun di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan, katanya.

Terdahulu, Mohd Asfia dilaporkan sebagai berkata bahawa DUN Sarawak akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Berdasarkan perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas 6 Jun (hari ini), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan. – Bernama, 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen