Pemimpin NUBE buat laporan polis terhadap Saravanan


Ravin Palanisamy

Pemimpin NUBE di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M. Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

LIMA pemimpin Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M. Saravanan kerana melakukan intimidasi kepada kesatuan itu, kata Tan Eng Hong.

Presiden NUBE itu berkata laporan polis dibuat menteri berkenaan terhadap Setiausaha Agung NUBE J. Solomon adalah taktik intimidasi untuk menutup mulut pemimpin kesatuan itu daripada membangkitkan isu berkaitan nasib pekerja, terutama ketika pandemik Covid-19 semakin teruk.

“Pada Khamis, lima ketua cawangan NUBE membuat laporan polis berkenaan kesan daripada laporan polis dibuat menteri yang bertujuan menyekat pemimpin kesatuan daripada mempersoalkan tindakan menteri dan melengahkan penguatkuasaan Akta 446,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima individu berkenaan ialah ketua cawangan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis Abdul Jamil Jalaludeen; ketua cawangan Perak Mohammad Syukri Mustaffa; ketua cawangan Kelantan dan Terengganu Wan Mohd Affendi Husain; ketua cawangan Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang Mohd Faisal Husinl dan Tan yang juga ketua cawangan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Saravanan membuat laporan polis terhadap Solomon kerana didakwa memfitnahnya dan mengelirukan orang ramai.

NUBE dalam satu kenyataan beberapa minggu lalu mendakwa kementerian lambat dalam menguatkuasakan standard untuk tempat tinggal pekerja.

Ia susulan Kementerian Sumber Manusia mengumumkan Akta 446 iaitu berkaitan tempat tinggal pekerja akan ditangguhkan hingga akhir tahun berikutan wakil daripada sektor pembuatan meminta lebih masa, terutama dalam keadaan pandemik masa ini. – 29 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen